
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan menjalani tahanan di rumah selewat-lewatnya November ini sekiranya Mahkamah Tinggi memutuskan Titah Adendum terhadapnya sah.
Peguam, Hanif Khatri Abdulla berkata, perkara itu boleh dilaksanakan walaupun pihak pendakwa raya memfailkan rayuan, kecuali jika mahkamah membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan.
“Bagi saya, apabila melibatkan kebebasan seseorang rakyat Malaysia, jarang mahkamah beri penggantungan. Kalau rayuan pihak lawan berjaya, Najib boleh dibawa semula ke penjara.
“Tempoh untuk beliau berada di rumah tidak boleh diabaikan hanya kerana ada rayuan,” katanya lapor Sinar Harian.
Jelas beliau, permohonan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum itu kini berada pada tahap kedua selepas peringkat kebenaran telah diputuskan Mahkamah Persekutuan pada Rabu.
Katanya, perbicaraan substantif akan menumpukan hujahan penuh kedua-dua pihak sama ada titah tersebut sah dari segi Perlembagaan dan undang-undang, sekali gus boleh dilaksanakan.
“Proses ini adalah melalui afidavit. Mahkamah tinggi akan memanggil sebutan pada Isnin depan bagi menetapkan arahan pemfailan afidavit, tarikh perbicaraan dan pemfailan hujahan.
“Biasanya kes ini boleh diselesaikan antara satu hingga tiga bulan. Paling cepat sebulan selepas semua dokumen dan hujahan difailkan,” jelasnya.
Hanif turut menegaskan, istilah pemenjaraan rumah adalah lebih tepat berbanding tahanan rumah kerana kedua-duanya melibatkan prosedur berbeza.
“Ini bukan house arrest. Ia house imprisonmen di bawah pengampunan Diraja. Guna istilah salah akan mengelirukan, ” ujarnya.
Menurutnya, hukuman penjara terhadap Najib bermula pada Ogos 2022 dan telah dikurangkan kepada enam tahun melalui pengampunan pertama.
“Secara kiraan, hukuman itu tamat pada 2028, namun dengan pengurangan statutory remission dan faktor lain, beliau mungkin dibebaskan pada 2026,” katanya.
Menyentuh isu perundangan utama, Hanif Khatri berkata, ia berkisar sama ada titah pengampunan perlu dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dengan nasihat lembaga atau Peguam Negara.
Beliau menambah, kes ini melibatkan isu undang-undang dan Perlembagaan semata-mata, manakala fakta telah selesai dibuktikan.
Pada 13 Ogos lalu, AGC gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Keputusan dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah. - 15 Ogos, 2025
The post Najib mungkin jalani tahanan rumah pada November appeared first on Scoop.
