Najib Razak Dan Keluarga Berdepan Bebanan Kewangan Lebih RM21 Bilion

LocalPolitics
19 Sep 2026 • 10:01 AM MYT
Oh! Media
Oh! Media

Made in Malaysia by Malaysian.

Datuk Seri Najib Razak masih berdepan beberapa urusan perundangan melibatkan jumlah kewangan yang besar meskipun kini dibenarkan menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Jika dihimpunkan tindakan berkaitan kes jenayah, saman sivil serta tuntutan cukai yang turut melibatkan isteri dan anaknya, jumlah berkenaan melebihi RM21 bilion.

Sebahagian daripadanya bagaimanapun masih melalui proses rayuan atau mendapat penangguhan pelaksanaan.

1MDB dan SRC libat jumlah terbesar

Image from: Najib Razak Dan Keluarga Berdepan Bebanan Kewangan Lebih RM21 Bilion

Bahagian terbesar datang daripada kes 1MDB apabila Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion selepas disabitkan atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram pada Disember 2025.

Beliau turut dikenakan perintah mendapatkan semula aset berjumlah RM2.08 bilion dan kini merayu terhadap sabitan serta hukuman berkenaan.

najib razak

Dalam tindakan sivil SRC International pula, Najib diperintahkan Mahkamah Tinggi membayar AS$1.3 bilion, kira-kira RM5.25 bilion. Pelaksanaan penghakiman itu ditangguhkan sementara rayuannya diputuskan.

Bagi kes SRC International yang membawa kepada pemenjaraannya sejak 2022, denda asal RM210 juta sebelum ini dikurangkan kepada RM50 juta. Pada 18 September 2026, beliau turut diberikan pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman di rumah sehingga 23 Ogos 2028 dengan syarat membayar denda RM50 juta.

Tuntutan cukai turut libatkan anak Najib Razak

Image from: Najib Razak Dan Keluarga Berdepan Bebanan Kewangan Lebih RM21 Bilion

Najib turut berdepan tuntutan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebanyak RM1.69 bilion bagi tunggakan cukai pendapatan tambahan. Prosiding kebankrapan terhadapnya kini ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian rayuan di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.

Anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin pula berdepan tuntutan cukai RM37.6 juta. Mahkamah Rayuan pada 4 September turut membenarkan penangguhan prosiding kebankrapan terhadap bapa dan anak itu sementara rayuan cukai mereka diselesaikan.

Image from: Najib Razak Dan Keluarga Berdepan Bebanan Kewangan Lebih RM21 Bilion

Dalam masa sama, Datin Seri Rosmah Mansor berdepan denda RM970 juta susulan sabitan dalam kes rasuah projek hibrid solar membabitkan 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion. Sabitan dan hukuman itu masih dalam proses rayuan.

Rosmah juga diperintahkan membayar RM67.46 juta kepada syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL berhubung 43 barangan kemas yang tidak dikembalikan. Penghakiman itu turut dirayu dan pelaksanaannya ditangguhkan secara bersyarat sementara menunggu keputusan rayuan.

The post Najib Razak Dan Keluarga Berdepan Bebanan Kewangan Lebih RM21 Bilion appeared first on Oh! Media.
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved