
KUALA LUMPUR - Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah supaya baki hukuman penjaranya dijalani melalui tahanan rumah.
Najib yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang atas kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, membuat keputusan itu melalui notis firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu.
Firma guaman berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa Najib selaku perayu berhasrat menarik balik rayuan terhadap responden tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa sebarang perintah kos.
Tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan pemberhentian tersebut. Pada 14 April lalu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan merekodkan bahawa notis penghentian difailkan peguam adalah teratur, sekali gus membatalkan rayuan Najib.
Pada 22 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk memaksa kerajaan dan enam pihak lain melaksanakan Titah Adendum yang didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Yee Ching menegaskan isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2023.
Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah tersebut dengan segera, memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya. Beliau turut menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Antara relif yang dipohon ialah salinan titah utama Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
Najib mula menjalani hukuman pada 23 Ogos 2022 dan memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022. Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - 27 April, 2026
The post Najib Razak tarik balik rayuan tahanan rumah appeared first on Scoop.
