Najib tak boleh akses internet, media sosial

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 2:25 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Najib tak boleh akses internet, media sosial

ALOR GAJAH: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mesti mematuhi syarat tahanan rumah, khususnya larangan menggunakan Internet dan platform media sosial sepanjang menjalani baki hukuman penjara.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sebarang pelanggaran terhadap syarat berkenaan boleh menyebabkan Najib kembali menjalani hukumannya di Penjara Kajang.

“Ya, (Najib) boleh duduk bersama dengan isteri-isterinya, anak-anaknya, menantu-menantunya, cucu-cucunya, tetapi tidak boleh pakai Internet.

“Kalau langgar, terus dihantar balik ke penjara Kajang,” katanya ketika berucap pada Pesta Melaka Rumah Kita bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Taman Perdana Melaka, di sini malam tadi.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat berkata bekas Perdana Menteri itu tertakluk pada empat kategori syarat utama yang ditetapkan Lembaga Pengampunan menerusi pengampunan bersyarat pada 18 Sept lepas.

Syarat berkenaan merangkumi sekatan tempat tinggal dan pergaulan, kawalan pergerakan dan lawatan, sekatan penggunaan telefon serta alat telekomunikasi, selain kewajipan menghadiri program pemulihan dan intervensi.

Antara lain, Najib juga tidak dibenarkan membuat kenyataan atau ulasan kepada media, menggunakan platform media sosial, menghadiri majlis keramaian atau terlibat dalam aktiviti politik.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lepas membenarkan Najib, 73, menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, di ibu negara berkuat kuasa serta-merta hingga 23 Ogos 2028. – BERNAMA

The post Najib tak boleh akses internet, media sosial appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved