
KUALA LUMPUR - Jabatan Penjara hari ini menafikan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima layanan istimewa di Penjara Kajang.
Jabatan itu menerusi satu hantaran di Facebook meminta orang ramai supaya menghentikan penyebaran maklumat palsu berhubung kemudahan penjara untuk orang kenamaan (VIP).
Dalam hantaran itu, jabatan terbabit turut melabelkan sebuah gambar kononnya didakwa sel bagi VIP yang dilengkapi kemudahan selesa sebagai palsu.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook dengan nama D’eyo Adie memuatnaik gambar sebuah bilik mewah yang didakwa sebagai penjara untuk VIP.
D’eyo Adie mendakwa sel bagi VIP jauh berbeza dengan bilik banduan biasa di mana golongan itu diberi kemudahan televisyen, internet, buku, penghawa dingin, katil dan tilam.
Semalam, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Susulan itu, Najib dibawa ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman berkenaan.
Sejak itu, media sosial dibanjiri dengan pelbagai komen netizen yang bersimpati dengan nasib Najib selain tertanya-tanya sama ada beliau menerima layanan istimewa di penjara.
Hantaran itu menjadi tular dan menerima lebih 2,500 komen di kalangan netizen dan dikongsi sebanyak 4,000 kali di Facebook.
“Selalu tengok banduan VIP dalam movie tamil. Memang bilik dia istimewa siap ada gym lagi. Dan bila-bila nak keluar masuk pun boleh. Tapi ni dalam filemlah,” kata Afrisya Lee J.
“Memanglah nampak mewah, tapi jangan dilupa masih terkurung dalam bilik. Tak ada kebebasan. Mula-mula syoklah, lama-lama tepu juga,” kata Zulzaimi. - Getaran, 24 Ogos 2022

