Najib Ubah Pemikiran Orang Melayu Terima Perbuatan Mencuri, Rasuah – Tun Mahathir

Politics
21 Aug 2022 • 12:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tun Dr Mahathir Mohamad - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecam orang Melayu kerana ‘membenarkan’ perbuatan mencuri dan amalan rasuah dalam kalangan pemimpin Melayu seperti Datuk Seri Najib Razak.

Beliau turut menyalahkan Najib kerana mengubah pemikiran orang Melayu tentang perkara tersebut sehingga mereka menerima perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Najib menanam pendapat bahawa apa nak malu jika dia mencuri. Dia bos. Bos boleh mencuri. Kalau bos tak malu kerana mencuri, orang Melayu pun tak perlu malu bila mencuri.

“Dan sekarang ini ramai orang tak tahu malu. Ada yang sampai cium tangan (Najib). Kenapa cium tangan? Boleh dapat duit. Boleh dapat jawatan. Apa nak malu.

“Kalau tangan berbau najis, tak apa. Ada duit dalam najis. Terbongkok-bongkoklah nak cium tangan. Apa nak malu. Kalau tangan bersalut tahi tetapi ada duit, okeylah. Tak payah malu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mahathir dalam nada sinis turut berkata, pencapaian terbesar Najib adalah menjadi seorang perasuah dan pencuri terkenal yang mempengaruhi orang Melayu untuk menormalkan perbuatan sedemikian.

“Terima duit yang dicuri, tak malu. Minta duit free, tak malu. Tak bayar hutang tak malu. Pilih pencuri, perasuah, banduan sebagai perdana menteri, okey. Tak malu.

“Dunia ketawakan Malaysia kerana tak malu dengan kelakuan yang memalukan, tak malu,” katanya.

Umum mengetahui, Dr Mahathir begitu lantang mengkritik Najib sejak beliau terpalit dengan dakwaan rasuah membabitkan skandal berbilion ringgit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ahli Parlimen Langkawi itu keluar daripada UMNO pada Februari 2016 sebagai membantah tiada sebarang tindakan diambil terhadap Najib.

Beliau kemudiannya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan mengetuai parti itu dan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018.

Najib kini dalam rayuan terakhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta di Mahkamah Persekutuan.

Beliau sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi.

Najib masih berdepan dua perbicaraan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi iaitu melibatkan penyelewengan lebih RM2 bilion dana 1MDB manakala satu lagi berhubung dakwaan salah guna kuasa berkaitan pengubahan laporan ketua audit negara mengenai dana kekayaan negara. - Getaran, 21 Ogos 2022