Najis tikus atas lantai: Dewan dan kafeteria MRSM Terendak diarah tutup

LocalHealth & Fitness
28 Sep 2024 • 6:17 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Dewan Selera dan kafeteria Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka, diarahkan tutup selama 14 hari, berkuatkuasa semalam susulan penemuan najis tikus di lantai dewan makan, selain keadaan dapur yang kotor dan tidak terurus.

Semalam, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan lawatan mengejut ke MRSM Terendak itu berikutan laporan 48 pelajarnya mengalami keracunan makanan.

Menurut Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Datuk Ngwe Hee Sem, tindakan tersebut diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Makanan 1983 untuk langkah pembersihan serta pembetulan di samping kedua-dua premis tersebut masing-masing dikenakan kompaun RM1,000.

Selain najis tikus, katanya, ia ditutup kerana peti sejuk yang digunakan tidak mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Pihak koperasi juga diberikan arahan agar menghentikan dahulu jualan makanan siap bungkus daripada pembekal luar hingga siasatan selesai dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya, seperti dilaporkan Bernama

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) juga mencadangkan beberapa katering daripada senarainya untuk membekalkan makanan kepada 663 pelajar di MRSM tersebut sepanjang tempoh penutupan itu.

Semalam, Asyraf mengadakan lawatan ke MRSM Terendak itu selepas menerima laporan mengenai keracunan makanan melibatkan 48 pelajar, yang mengalami simptom sakit perut.

Lapan daripada mereka dirawat di hospital namun telah dibenarkan pulang.

Dalam lawatan mengejut itu, Asyraf turut berasa sedih dengan keadaan bilik guru dan tandas di bangunan akademik serta tandas di asrama pelajar yang mengalami kerosakan.

“Saya telah berikan tempoh masa selama sebulan kepada pihak Pengetua dan pengurusan MRSM untuk menyelesaikan isu-isu penyelenggaraan fasiliti ini,’’ katanya yang turut meluluskan peruntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik-pulih fasiliti asas tersebut.

Sebelum ini, kontrak kontraktor dewan selera MRSM Taiping telah ditamatkan dan tindakan undang-undang sudah diambil susulan sikap sambil lewa kontraktor itu dalam penyediaan makanan kepada pelajar institusi berkenaan.

Ia juga susulan laporan keracunan makanan yang dialami pelajar di MRSM tersebut. - 28 September, 2024