
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Tikus merupakan haiwan perosak yang boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan. Oleh itu, mana-mana pengusaha perniagaan khususnya makanan perlu memastikan kawasan premis mereka bebas dari haiwan ini.
Bahkan mereka turun disarankan untuk mengadakan pemeriksaan kawalan perosak agar dapat mencegah kedatangan haiwan perosak itu.
Najis tikus ditemui di tempat penyediaan makanan di kantin sekolah
Terbaharu sebuah kantin sekolah jenis kebangsaan di Pulau Pinang telah diarahkan tutup selama 14 hari yang berkuat kuasa sejak 14 Mei.
Keputusan itu diambil pihak berkuasa susulan penemuan najis tikus di tempat penyediaaan makanan kantin terbabit.
Tutup selama 14 hari bermula 14-27 Mei
Jelas Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen perintah penutupan kantin sekolah tersebut dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Kita ambil maklum berhubung penutup sebuah kantin di sekolah jenis kebangsaan di negeri yang diarah tutup selama 14 hari, bermula semalam sehingga 27 Mei ini.
“Tindakan penutupan ini adalah usaha berterusan pihak berkuasa bagi membendung kesihatan awam, bertujuan menjaga kesihatan atau penularan penyakit berjangkit,” ujarnya, dipetik Kosmo.
Beliau dalam masa sama turut memaklumkan tindakan berterusan juga akan dilakukan bagi memastikan kebersihan di kawasan penyediaan makanan dijaga dengan baik khususnya membabitkan kantin sekolah mahupun agensi kerajaan termasuklah di premis makanan.
Terima aduan SISPA mengenai isu tikus di kantin sekolah
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Mohd. Dziauddin Mat Saad pula memaklumkan pemeriksaan di kantin sekolah itu dilakukan selepas pihak kesihatan mendapat aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Aduan tersebut adalah berhubung masalah tikus yang ada di kantin sekolah berkenaan.
“Siasatan dan pemantauan di kantin sekolah itu terdapat najis tikus di bahagian lantai belakang peti sejuk yang tidak digunakan.”
Jelasnya, ketika ini tiada sebarang kes keracunan makanan melibatkan guru atau pelajar dilaporkan.
Kerja pembersihan akan dilakukan sepanjang tempoh penutupan
Memetik laporan Malaysia Gazette, arahan penutupan tersebut telah dikeluarkan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut sebaik pemeriksaan dilakukan pada jam 10.45 pagi, semalam (14 Mei).
Menurut Dziauddin hasil siasatan dilakukan mendapati najis tikus terbabit ditemui di bahagian lantai belakang sebuah peti sejuk yang tidak digunakan di kantin terbabit.
Pembersihan dan sinitasi juga akan dilakukan sepanjang tempoh penutupan premis berkenaan.
“Sepanjang tempoh itu, pihak sekolah akan melaksanakan kerja pembersihan dan sanitasi selain memastikan semua aspek kebersihan dipatuhi sebelum kantin dibenarkan beroperasi semula,” jelasnya.
Katanya lagi susulan daripada penutupan kantin itu, pihak sekolah menyediakan bekalan makanan kepada murid melalui pembekal makanan lain.
