Nak bail-out AirAsia kena ikut syarat kerajaan, bukan free free

LocalBusiness & Finance
28 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Nak bail-out AirAsia kena ikut syarat kerajaan, bukan free free Image from: Nak bail-out AirAsia kena ikut syarat kerajaan, bukan free free johardy28/11/2026 - 09:00 MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

Beli tiket AirAsia, nak pilih tempat duduk kena bayar. Nak tambah bagasi pun kena bayar. Semua ada harga. Jadi bila AirAsia susah nak bayar bil sendiri, kenapa pula bil itu nak diserahkan kepada rakyat?

 

Buka penyata kewangan AirAsia Group Berhad yang diumumkan pada 23 November. Dalam sembilan bulan pertama 2026, hasilnya RM15.70 bilion. Tunai bersih daripada operasi cuma RM205.9 juta.

 

Bayaran balik liabiliti pajakan dalam tempoh sama mencecah RM1.73 bilion. Pemberi pajak tentu seronok tengok hasil RM15.70 bilion. Lepas itu mereka tetap nak tahu bila duit masuk.

 

Ke mana duit itu pergi? Dalam sembilan bulan, perubahan pada jumlah yang belum dikutip dan bayaran yang dibuat awal menggunakan RM1.97 bilion tunai. Faedah yang dibayar pula RM307.9 juta.

 

Selepas ambil kira modal kerja, faedah dan cukai, tunai bersih daripada operasi tinggal RM205.9 juta. Itu sebelum bayaran balik pajakan, yang masuk dalam kira-kira pembiayaan.


 

aa

 


Pada akhir September, aset semasa AirAsia RM4.09 bilion. Liabiliti semasanya RM19.24 bilion. Bezanya RM15.15 bilion. Dalam jumlah itu ada bil pembekal, bayaran pajakan dan tiket yang sudah dibayar penumpang. Bila pembekal nak duit dan penumpang nak terbang, duit nak datang dari mana?

 

Kerugian bersih disatukan mengecil daripada RM830.5 juta pada suku kedua kepada RM381.3 juta pada suku ketiga. Kalau ukuran kejayaan ialah rugi kurang daripada suku lepas, bolehlah tepuk tangan.

 

AirAsia sendiri mengira bahawa selepas mengetepikan kerugian pertukaran asing, kumpulan masih rugi RM239.4 juta. Keputusan suku ketiga masih belum meyakinkan.

 

Berita paling tak sedap dibaca bila menyentuh hal penangguhan pembayaran gaji staf. AirAsia mengesahkan gaji staf di Malaysia akan dibayar pada 30 haribulan mulai November hingga Mac 2027, kecuali Februari yang dibayar pada hari terakhir bulan itu. Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Bo Lingam, kata ini pelarasan operasi dan gaji tetap dibayar penuh.

 

Pesawat tak terbang pun ada bil

Bagaimana AirAsia sampai ke sini? Undur ke tahun 2020. Sekatan perjalanan akibat pandemik menjatuhkan permintaan dan kumpulan yang kemudian menjadi Capital A Berhad rugi RM5.89 bilion.

 

Pada Januari 2026, Capital A jual perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X Berhad, sekarang AirAsia Group Berhad. Semua operasi penerbangan itu disatukan. Bil pajakan tetap kena bayar. Hutang pula masih perlu dibiayai semula.

 

Bahan api memang mahal. Pada suku ketiga, kos bahan api pesawat RM2.07 bilion, kira-kira 44 peratus daripada hasil.

 

Harga minyak dunia memang di luar kawalan AirAsia. Tapi siapa yang pilih berapa banyak pesawat nak diambil, apa syarat pajakannya dan macam mana nak bayar? Pengurusan AirAsia. Kena sedar diri. Rasanya pembayar cukai tak pernah dijemput masuk mesyuarat masa keputusan itu dibuat.

 

Pada akhir September, 72 daripada 234 pesawat tidak beroperasi. Dalam satu suku, pesawat yang tak terbang itu mencatat susut nilai RM148.8 juta dan kos pembiayaan RM60.9 juta.

 

AirAsia kata setakat 23 November, lapan pesawat lama sudah dipulangkan. Sasarannya 25 menjelang hujung tahun. Bagus. Sekarang beritahu berapa banyak duit boleh jimat dan bila.


 

solar



Pembiayaan semula boleh beli masa

Bila AirAsia kurangkan penerbangan, Capital A pun terasa. Jualan tempat duduk AirAsia melalui AirAsia MOVE turun 25 peratus kepada 10.7 juta pada suku ketiga. Jualan produk dan perkhidmatan tambahan turun 22 peratus. Potong penerbangan boleh jimat kos. Berapa banyak jualan pula yang hilang?

 

AirAsia merancang mendapatkan sehingga AS$1 bilion daripada pasaran hutang antarabangsa dan RM700 juta melalui kemudahan kredit tempatan, terutama untuk pembiayaan semula.

 

Silakan berunding. Berapa banyak bayaran boleh dikurangkan? Berapa lama lagi boleh tangguh? Kalau setiap kali bil lama sampai kena cari pinjaman baharu, bila AirAsia boleh bayar bil dengan duit yang perniagaannya sendiri jana?

 

Kita sudah ada pengalaman dengan Malaysia Airlines. Khazanah mengumumkan pelan pemulihan sehingga RM6 bilion pada 2014, disusuli komitmen modal baharu RM3.6 bilion pada 2021.

 

Malaysia Aviation Group mencatat keuntungan bersih tahunan pertamanya pada 2023. Hampir sedekad. Mengumumkan pelan pemulihan rupanya bahagian paling cepat.

 

Kalau AirAsia tumbang, siapa mampu isi kekosongan?

Di Kamar Khas Dewan Rakyat pada 26 November, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kata kerajaan belum beri sebarang komitmen untuk membantu AirAsia dari segi kewangan.

 

Kalau kerajaan terpaksa campur tangan, katanya, cara yang digunakan dalam kes Vantris Energy boleh dipertimbangkan, termasuk memperkukuh lembaga pengarah dan pengurusan.

 

Menurut Amir Hamzah, AirAsia menyumbang hampir 60 peratus daripada pergerakan penumpang domestik di lapangan terbang kendalian Malaysia Airports Holdings Berhad pada 2025. Kalau AirAsia tumbang, syarikat lain nak cari pesawat dan kru dari mana untuk ganti penerbangan sebanyak itu dalam masa singkat?

 

Putrajaya kena tahu dari sekarang laluan mana yang boleh diambil alih oleh syarikat lain. Kalau kapasiti mereka masih tak cukup dan laluan penting bakal terputus, barulah kerajaan pertimbang untuk campur tangan.

 

Kalau kerajaan terpaksa bail-out juga, kerajaan yang tetapkan syarat. Laluan mana mesti terus beroperasi, berapa kosnya dan sampai bila bantuan diberi. Pemegang saham dan pemiutang kena tanggung bahagian masing-masing.


 

solar

 


Amir Hamzah dah sebut soal memperkukuh lembaga pengarah dan pengurusan. Bagi saya, kalau kerajaan sampai kena keluarkan duit rakyat, memang patutlah pengurusan AirAsia kena tukar. Buat apa kekalkan jika sudah terbukti gagal mengurus. Tetapkan syarat itu sebelum satu sen pun keluar.

 

Jadi, Tan Sri Tony Fernandes, bersediakah Tan Sri terima syarat ini kalau kerajaan sudi bail-out AirAsia? — DagangNews.com

 

 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjayanya sebagai wartawan selama lebih 34 tahun. `Merrepak' adalah kolum pojok beliau yang mula diperkenalkan dalam Mingguan Malaysia pada 2009, menyentuh apa sahaja isu yang mencuit jiwa dan minda sepanjang minggu, atau yang membuatkannya mendengar lagu ACES HIGH oleh IRON MAIDEN berulang-ulang kali.
Merrepak Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved