“Nak Bantu Penduduk,” Peniaga Di Padang Terap Masih Jual Kuih Sekupang

5 Apr 2023 • 11:35 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

“Nak Bantu Penduduk,” Peniaga Di Padang Terap Masih Jual Kuih Sekupang

KUALA NERANG — Walaupun mendapat pelbagai rungutan berhubung kenaikan harga barangan khususnya yang dijual di bazar Ramadan, namun sebenarnya masih terdapat gerai makanan yang menjual makanan pada harga di luar kotak pemikiran lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup dan inflasi.

Terkenal dengan panggilan “sekupang” (sen) di negeri-negeri utara, masih ada sebenarnya peniaga yang menjual kuih-muih pada harga 10 sen, lapor Astro Awani.

Roslina Saad, 54, merupakan seorang peniaga kuih-muih sejak 20 tahun lalu.

Jelasnya, kebanyakan penduduk di situ adalah golongan berpendapatan rendah.

image is not available
Gambar: Astro Awani

Sehubungan itu, dia berbuat demikian agar penduduk dapat membeli kuih-muih pada harga yang paling murah.

Setiap biji, saiz dan kualiti kuih juga sama seperti tahun-tahun sebelum ini walaupun dijual dengan harga 10 sen.

“Saya jual sekupang (10 sen), kalau (dengan harga) sekupang, orang tak berduit (pun) boleh makan, (contohnya) walaupun lima kupang (50 sen) dia beli (boleh dapat lima biji kuih).

“Tujuan jual dengan harga ini (adalah untuk) membantu penduduk yang berpendapatan rendah agar mereka mampu beli (kuih yang dijual).

“Satu lagi apabila melibatkan keluarga yang ada (ahli keluarga yang) terlalu ramai, kalau mereka nak beli (kuih) yang (dijual) 5 biji RM2 itu boleh dapat satu jenis sahaja.

“Kalau (beli daripada) saya, RM2 boleh campur-campur (20 biji kuih-muih),” jelasnya sewaktu ditemui di tapak Bazar Ramadan Lubuh Merbau, Padang Terap.

Difahamkan, gerai Roslina menawarkan 5,000 biji kuih dengan aneka pilihan sepanjang ramadan. Ia termasuk buah melaka, karipap, onde-onde, lopeh dan ketayap yang dijual setiap hari.

Pun begitu, lazimnya jualan Roslina habis dalam tempoh kurang dari dua jam terutamanya pada hujung minggu.

“Selalunya saya sediakan dalam 14 jenis atau 15 jenis (kuih). Setiap satu jenis (kuih) ada yang (dijual) 450 biji, ada yang 600 (biji) dan ada yang 700 (biji).

“Saya mula meniaga dalam pukul 3 (petang), (nak kata laris) tengok (kepada) keadaan, (jika hari) Jumaat, Sabtu atau Ahad, dalam pukul 5 (petang) sudah habis, kalau hari lain dalam pukul 6 (petang),” ujarnya lagi.

Komen Penduduk Setempat

Dalam pada itu, segelintir pembeli turut ditemu bual. Mereka mengatakan bahawa kuih yang dijual oleh Roslina sangat membantu golongan berpendapatan rendah.

Tambahan lagi, rata-rata penduduk sekitar bekerja sebagai penoreh getah.

image is not available
Gambar: Astro Awani

“Sangat okey kerana kita (golongan penoreh) dengan harga getah murah (ketika) ini mampu beli (kuih yang dijual) sebiji sekupang (10 sen).

“Perbelanjaan tidak berapa teruk (dan besar sangat). Kalau beli RM5 banyak biji sudah dapat. Dua hari (sekali) mesti saya datang beli (di sini),” jelas Mohd Sobri Saad, 38 yang merupakan seorang penoreh getah.

Selain itu, Dalilah Ali, 65 berkata kuih dengan harga serendah 10 sen merupakan inisiatif yang baik. Lebih-lebih lagi dalam meringankan beban komuniti yang terkesan dengan kos sara hidup.

Dalilah yang juga seorang suri rumah pertama kali datang ke gerai itu selepas diajak oleh anaknya berikutan tular di media sosial.

“Pertama kali datang (sini), anak (mahu datang) tengok, dia kata ada viral cucur (sekupang), dia kata jom ronda-ronda (dan) beli.

“Bila tengok (depan mata), memang ada, betul-betul murah, memang boleh sangat dengan kos sara hidup sekarang ini.

“Tambahan lagi, lauk (pula) mahal, bolehlah kalau kita nak makan (buat juadah berbuka),” katanya.

Sumber: Astro Awani