Nak cantikkan gambar lama yang pudar & calar? Cuba guna alat percuma ini

Design
2 Aug 2022 • 5:59 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Anda ada tak gambar lama yang sangat bermakna tapi ia sudah pudar ataupun calar? Contohnya gambar ahli keluarga anda pada tahun 70an atau gambar sewaktu anda kecil. Jika ada, anda boleh gunakan satu alat percuma untuk baiki sendiri gambar itu supaya ia dapat dilihat semula dalam paparan lebih baik.

Dibangunkan oleh penyelidik Tencent, Generative Facial Prior-Generative Adversarial Network (GFP-GAN) dikatakan boleh memulihkan gambar rosak dan juga baiki gambar yang miliki resolusi rendah. Teknologi ini menggabungkan maklumat daripada dua model AI untuk mengisi butiran gambar yang hilang dengan menggantikan butiran realistik dalam beberapa saat.

image is not available

Anda boleh cuba demo GFP-GAN secara percuma di sini. Tapi para penyelidik memberi amaran bahawa anda mungkin akan lihat sedikit perubahan identiti dan resolusi yang lebih rendah. Namun setakat ini, apabila saya cuba alat ini, saya dapati adakalanya ia bantu mencantikkan semula gambar yang beresolusi rendah dan calar, tapi ada juga gambar yang dibaiki itu terlebih licin sehingga lari daripada rupa asal.

Contoh seperti di bawah. Apabila saya cuba baiki gambar karakter Belalang dari filem Nujum Pak Belalang, wajah individu dalam gambar ini menjadi sangat licin. Tapi ia masih lagi mengikut bentuk muka asal. Dalam masa yang sama, saya ada nampak wajah Belalang ini ke arah sedikit imej kartun. Namun, saya suka hasilnya sebab berbanding dengan imej asal, gambar yang baru dihasilkan ini nampak lebih jelas.

image is not available

Kedua, saya cuba pula baiki gambar karakter Pendekar Mustar dan Ajis dari filem Pendekar Bujang Lapok. Hasilnya, wajah Ajis kelihatan pelik pada bahagian mata. Alat ini tidak dapat menukarnya kepada rupa asal dengan baik. Malah dapat dilihat seperti ada kulit dari dagu Ajis bersambung dengan bahu Pendekar Mustar. Tapi, saya suka lihat wajah Pendekar Mustar sebab ia dapat dibaiki dengan cantik walaupun resolusi imejnya licin.

image is not available

[Sumber: Engadget]