Nak Debat? Boleh, Tapi Tunggu Selepas PRN – Adam Adli 

Politics
4 Aug 2023 • 2:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Adam Adli Abdul Halim (kiri) setuju untuk berdebat tetapi hanya selepas PRN - gambar Twitter

KUALA LUMPUR – Peluang dan pentas debat harus diberi kepada calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), khususnya muka baharu bagi membolehkan mereka menyampaikan suara dan idea masing-masing. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, tumpuan rakyat harus diberikan kepada suara mereka ketika ini, agar pendedahan yang diterima lebih meluas. 

Menurut beliau, Ahli Parlimen (MP) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sedang berkhidmat sering menerima perhatian media, justeru adalah tidak wajar untuk merebut kesempatan berkenaan daripada semua calon terlibat. 

“Biarpun janggal untuk debat diadakan antara dua MP kerajaan dengan disertai pula oleh seorang MP pembangkang, saya kira ia menarik dan boleh kita jadikan medan untuk merungkai banyak perkara agar jelas semuanya.  

“Begitu pun, saya percaya ada yang lebih memerlukan pentas ini saat sekarang,” katanya menerusi ciapan di Twitter. 

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menyatakan demikian sebagai reaksi terhadap jemputan berdebat diberikan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Menerima jemputan berkenaan dengan baik, Adam Adli bagaimanapun mencadangkan agar acara berkenaan diadakan selepas PRN berakhir. 

“Urusan antara kita ini boleh diadakan selepas selesai PRN. Insya Allah. Tetapkan perimeternya nanti,” katanya yang turut mengucapkan terima kasih atas pelawaan tersebut. 

Syed Saddiq menerusi satu ciapan semalam menghulurkan jemputan kepada Adam Adli dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari untuk bersamanya di pentas debat bagi mengemukakan pelbagai idea serta solusi. 

“Dengan itu, saya ingin menjemput saudara YB @AdamAdli dan YB @FadhliShaari, dua pimpinan anak muda, dalam parti masing-masing yang saya hormati.  

“Saya setuju bahawa kita memerlukan banyak ruang dan peluang bagi pemimpin negara kita berbahas, bertanding, bertembung,” katanya. 

Jelas beliau, idea, solusi dan dasar dikemukakan berupaya menyelesaikan masalah melibatkan generasi muda yang semakin mencabar. 

“It's time for us to celebrate the debate culture for a better policy and solution centric politics in Malaysia.  

“Saya berharap jemputan saya dipenuhi dan kita dapat bersama di atas pentas perdebatan untuk membincangkan hala tuju anak muda kita,” katanya. - Getaran, 4 Ogos 2023