
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui kejujuran dan amanah adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan harian. Malah mereka yang tidak jujur sanggup menipu demi menyelamatkan diri sendiri.
Wanita buat laporan palsu dakwa kena ragut sebab nak elak dikenakan tindakan lepas guna duit majikan
Terbaharu seorang wanita sanggup membuat laporan polis palsu dengan mendakwa dirinya diragut semalam (24 Jun) hanya disebabkan mahu mengelak dari dikenakan tindakan kerana telah membelanjakan wang milik majikannya.
Jelas Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berdasarkan siasatan dilakukan mendapati insiden ragut seperti yang didakwa tidak berlaku.
Wanita usia 40-an mengaku buat laporan palsu
“Kira-kira jam 5 petang semalam (24 Jun), Polis Daerah Nilai membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan terhadap seorang wanita warga tempatan.
“Suspek yang berusia lingkungan 40-an mengaku membuat laporan polis palsu berkaitan kejadian ragut yang didakwa berlaku terhadapnya di Putra Point, di sini,” jelasnya, lapor Berita Harian.
Jika sabit kesalahan seseorang individu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Wanita buat laporan polis palsu sebab nak sembunyikan perbuatan guna wang majikan dan elak kena tindakan
Menurut beliau, wanita terbabit mengaku tujuan dia membuat laporan tersebut adalah untuk menyembunyikan penggunaan wang milik majikannya serta mahu mengelak dari dikenakan sebarang tindakan.
Susulan daripada insiden itu, Johari kemudian mengingatkan orang ramai bahawa individu yang membuat laporan polis palsu boleh dikenakan tindakan kerana ia merupakan kesalahan jenayah.
Sebanyak 10 kertas siasatan kes laporan palsu dibuka sejak 1 Januari sehinga 24 Jun 2026
Ulas beliau, Polis Daerah Nilai telah mengesan serta membuka sebanyak 10 kertas siasatan kes laporan palsu bagi tempoh dari 1 Januari 2026 sehingga 24 Jun 2026.
Menurut Johari lagi, statistik tersebut menunjukkan terdapat segelintir pihak yang menyalahgunakan saluran laporan polis bagi kepentingan peribadi serta tidak memikirkan impak undang-undang dan kesan ke atas usaha pencegahan serta penyiasatan jenayah.



