
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Kalau bercerita bab travel atau bercuti, siapa sahaja yang tidak suka bukan? Lagi-lagi tempat seperti pantai yang menjadi pilihan ramai.
Mana tidaknya, melihat keindahan laut biru pastinya boleh menenangkan fikiran. Tapi bila sebut pasal pantai, kebiasaannya tempat seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Semporna, Bali, Lombok atau Krabi yang akan terlintas di fikiran terlebih dahulu bukan?
Sebenarnya, Sihanoukville dan Koh Rong yang ada di Kemboja pun tak kurang cantiknya tau. Mari kami kongsikan pengalaman kami sendiri travel di sana selama lima hari empat malam.
Dari KLIA Terminal 2 terus terbang naik AirAsia ke Sihanoukville
Hari pertama, kami menaiki kapal terbang AirAsia dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 menuju ke Sihanoukville International Airport. Setibanya kami di sana, kami terus dibawa menaiki van menuju ke sebuah resort tepi pantai, Summerbay Resort yang terletak di kawasan Bay of Lights.
Turun sahaja dari van, mata kami terus terpukau dengan keindahan pantai di hadapan resort dan paling best, di kawasan yang sama juga kami melakukan pelbagai aktiviti sukan lasak seperti bermain go-kart, ATV dan jet ski. Memang adrenaline rush!


Dah penat melakukan aktiviti lasak, kami check-in di sebuah hotel yang diuruskan oleh syarikat Malaysia iaitu Won Majestic Hotel. Walaupun berada di Kemboja, ‘Malaysian hospitality’ tu masih korang boleh dapat di sini ya, memang recommend korang menginap di sini.
Beli-belah di Sihanoukville Local Market
Hari kedua pula, kami meneruskan perjalanan untuk melawat salah satu tempat ikonik yang wajib pergi di Sihanoukville iaitu Golden Lions Roundabout, dan tak jauh dari sini ada sebuah pasar tempatan (Phsar Leu Market) yang sangat sesuai untuk korang berbeli-belah, dari pakaian sampailah ke buah-buahan, macam-macam ada tau, rambang mata dibuatnya.



Dah selesai beli-belah, kami lepak pula di Brown Coffee yang ada di Otres Beach. Sambil minum kopi, sambil layan angin laut di tepi pantai memang syahdu habis. Otres Beach ini pun cantik tau setanding pantai-pantai terkenal lain di dunia.
Dah puas layan kopi tepi pantai, kami check-in pula di Arjuna Resort & Spa. Di sini kami hanya habiskan baki hari yang ada dengan santai di spa dan mandi di kolam renang dengan pemandangan luas terbentang dari tingkat 13.



Naik speed boat ke Koh Rong, 2 hari healing di pulau
Keesokan harinya pula, kami bergerak menuju ke jeti yang tak jauh dari penginapan kami untuk menaiki speed boat menuju ke Koh Rong, kali ini ‘island vibe’ pula. Untuk pengetahuan korang, Sihanoukville dan Koh Rong memang dah tak jauh, perjalanan ambil masa lebih kurang 30 minit sahaja.
Sampai sahaja di Koh Rong, kami terus teringat akan suasana di Pulau Perhentian dan Pulau Redang, sebab boleh dikatakan hampir sama, daripada pasir pantai yang putih hinggalah ke air laut yang ‘crystal clear’.


Di Koh Rong, kami menginap di Beachwalk Resort yang terletak di Long Set Beach. Walaupun ketibaan kami di sana disambut dengan cuaca hujan kerana telah memasuki musim monsun, ia tetap tidak menghalang kami untuk melakukan island hopping seperti snorkeling, belajar memancing cara penduduk tempatan di sana dan explore pulau.


Hari keempat, aktiviti lebih santai tapi tetap best. Kami singgah ke kampung nelayan atas air, kemudian berkayak di kawasan paya bakau. Selepas itu melawat Kiricholsa Pagoda sebelum singgah pula ke sebuah kampung kecil berdekatan. Suasana desa di sini buat kami rasa lebih dekat dengan budaya tempatan.



Waktu malam pula, kami hanya layan fire show sebelum keesokan paginya pulang semula ke Sihanoukville dan menaiki kapal terbang balik ke Tanah Air.
Tips bercuti ke Sihanoukville dan Koh Rong
Berdasarkan pengalaman kami, di sini kami sertakan juga beberapa tips penting buat korang yang ingin bercuti di sini seperti:
- Urusan jual beli di Kemboja hanya menerima mata wang AS Dollar (AS$), Kemboja memang ada mata wang tersendiri, tapi sangat jarang digunakan melainkan barangan yang dibeli bernilai bawah AS$1.
- Kami bercuti di Sihanoukville dan Koh Rong pada musim yang salah sebenarnya kerana musim monsun di sana bermula dari bulan Jun sehingga Oktober, sebaiknya korang pergi bukan di dalam bulan-bulan ini.
- Bila bercuti di tempat orang, sentiasa berhati-hati dan jangan berjalan di kawasan yang sunyi.
Kesimpulannya, kalau korang tengah plan trip ke destinasi pantai atau pulau, mungkin korang boleh letak Sihanoukville dan Koh Rong dalah wishlist. Confirm tak menyesal!
