‘Nak lapor polis? Teruskan’, kata Akmal berkait arahan Loke terhadap DAPSY

LocalPolitics
15 Aug 2025 • 2:00 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh tidak gentar berdepan laporan polis yang bakal dibuat sayap Pemuda DAP (DAPSY) seperti diarah Setiausaha Agungnya, Anthony Loke.

Akmal dalam satu perkongsian di Facebook membidas Loke yang mendakwa beliau mencabar kedaulatan undang-undang kerana tidak mengendahkan amaran pihak berkuasa dengan meneruskan perarakan di Kepala Batas, semalam.

“Dulu masa zaman kamu pembangkang tetap buat juga, jadi itu pun boleh didakwa ke kerana melanggar arahan ketua polis negara?

“Siap kereta terbalik dan memijak gambar muka pemimpin kerajaan lagi ketika itu,” katanya sambil menegaskan pihaknya berhimpun secara aman semalam.

“Nak lapor polis? Teruskan sahaja dan saya sedia untuk beri kerjasama. Untuk takut kepada kamu, tidak sama sekali.’

Semalam, Loke mengarahkan DAPSY di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap Akmal susulan kejadian demonstrasi semalam.

Tindakan Akmal menurutnya, tidak mengendahkan amaran pihak polis juga adalah satu perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam yang menyebabkan kegusaran peniaga-peniaga di sekitar kawasan tersebut sehingga mereka terpaksa menutup perniagaan mereka lebih awal.

“Perbuatan seperti ini adalah melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap perbuatan melampau seperti ini,” katanya.

Menurut Loke, laporan dibuat terhadap Akmal di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan, serta seksyen baharu dalam menangani kegiatan buli iaitu Seksyen 507B Kanun Keseksaan dan 507C Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pemilik kedai perkakasan, Pang Chin Tian, 59, yang tular mengibar Jalur Gemilang terbalik bersedia menerima sebarang tindakan perundangan yang akan dikenakan terhadapnya.

Chin Tian mengakui kesilapan itu tidak disengajakan dan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku pada Sabtu lalu. - 15 Ogos, 2025