
Nak Rasa Kelainan? Cuba Resipi Lemang Cawan Pulut Hitam Ini
Pejam celik, tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dinanti-nantikan.
Suasana riang, lampu berkelip, dan senyuman keluarga sudah mula terasa di segenap pelusuk rumah.
Salah satu perkara yang paling ditunggu-tunggu setiap kali tiba musim perayaan ini pastinya juadah di atas meja.
Antara hidangan wajib yang tidak pernah lekang termasuklah rendang, kuah kacang yang manis dan lemak, serta ketupat yang lembut.
Setiap tahun, lemang merupakan antara juadah yang sentiasa menjadi buruan tetamu di mana-mana rumah terbuka Aidilfitri.
Untuk kelainan, mari cuba buat lemang pulut hitam yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, @suzy_sharif untuk tetamu yang berkunjung ke rumah nanti.
Resipi lemang pulut hitam
Untuk resipi ini, anda perlu sediakan satu pot beras pulut putih, satu pot beras pulut hitam, satu paket santan serbuk dan satu setengah cawan santan plus tiga perempat cawan.
Selain itu, sediakan gula dan garam untuk melengkapkan hidangan ini.
Langkah seterusnya ialah rendam beras pulut putih dan beras pulut hitam sekurang-kurangnya empat jam.

Sediakan sebuah mangkuk, kemudian masukkan santan, garam dan gula ke dalamnya.
"Bancuhan tadi jangan terlalu cair atau terlalu pekat, pastikan rasanya seimbang," ujar @suzy_sharif.
Kemudian, masukkan beras pulut ke dalam cawan kertas yang dialas dengan daun pisang dan hentakkan cawan itu supaya beras pulut menjadi padat.
Seterusnya, tuangkan santan hingga menutupi paras beras pulut, kemudian gaul perlahan-lahan.

Kukus campuran beras pulut selama 20 minit atau sehingga pulut masak sepenuhnya.
@suzy_sharif juga menggunting cawan kertas, mengeluarkan lemang, dan menghirisnya seperti lemang tradisional.
"Pastikan lemang benar-benar sejuk sebelum dipotong," ujar wanita itu lagi.
Menjengah ke ruang komen, rata-rata warga maya berterima kasih dengan perkongsian yang dibuat oleh pengguna TikTok berkenaan.
Perkongsian sebegini bukan sahaja memberi inspirasi tetapi juga memudahkan orang ramai untuk mencuba sendiri, terutamanya bagi yang baru ingin mencuba atau mencari cara lebih mudah.
Selamat mencuba.




