Nak Sangat Anak Perempuan, Elizabeth Tan Pilih Nama Watak Dalam Filem!

5 Aug 2022 • 8:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Elizabeth Tan dan Siew Jim (suami) - Gambar Instagram Elizabeth Tan

Semenjak mendirikan rumah tangga, penyanyi Elizabeth Tan mendedahkan sudah beberapa kali berbincang untuk menimang cahaya mata. 

Mesra disapa sebagai Lizzy, penyanyi Semua Sudah itu dan suaminya Siew Jim sebenarnya sudah merancang untuk membina keluarga  pada Julai tahun ini. 

Namun, melihat kepada rutin pekerjaan yang semakin sibuk, masing-masing memutuskan untuk menunda tempoh percubaan mereka sehingga Oktober. 

image is not available
Gambar ihsan Instagram Elizabeth Tan

“Wanita mempunyai biological clock. Saya sebenarnya sedang menjalani program perancang kehamilan.

“ Selepas berbincang dengan doktor, dia menasihati saya untuk hamil sebelum usia 35 tahun bagi mengelakkan bayi menghadapi autism. 

“Jadi, saya dan suami sedang cuba ke arah itu,”katanya ketika ditemui Getaran di majlis sidang media pelancaran filem Abang Long Fadil 3.

Bukan itu sahaja, banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum memutuskan untuk mempunyai anak antaranya faktor karier dia dan suami.

“Selepas bergelar ibu, sudah semestinya saya akan sedikit gusar sekiranya tawaran sudah semakin berkurang. Watak yang akan saya lakukan juga akan berbeza selepas ini. 

“Suami saya pula sedang dalam tempoh housemanship. Jadi perancangan untuk hamil, kami anjak ke Oktober tahun ini,”tambahnya. 

image is not available
Gambar oleh Syeda Imran

Bercerita mengenai anak, pelantun lagu Knock Knock itu menyimpan impian untuk memiliki anak perempuan yang dinamakan sempena karakter utama filem kesukaannya, Dune.

“Kalau boleh saya nak anak perempuan. Saya dah ada nama nak letak, kalau perempuan. Memandangkan saya sangat suka cerita Dune, maka anak saya akan dinamakan salah seorang karakter dalam cerita itu,”katanya yang mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Lizzy bakal tampil menerusi filem sekuel Abang Long Fadil 3 yang bakal menggegarkan pawagam Malaysia, Singapura, Brunei  bermula 8 September depan. 

Turut sama memeriahkan filem itu ialah Johan, Zizan Razak, Maya Karin, Datuk Ac Mizal. - Getaran, 5 Ogos 2022