
Nak “Seat” Konsert Paling Depan, Peminat Taylor Swift Berkhemah Luar Stadium Lima Bulan Awal
Peminat penyanyi asal Amerika Syarikat, Taylor Swift di Argentina dilaporkan sanggup ‘berkampung’ lima bulan lebih awal di hadapan River Plate Stadium.
Tindakan tersebut dipercayai adalah untuk memastikan mereka dapat duduk di barisan paling hadapan sewaktu konsert penyanyi yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Untuk makluman, aktiviti ‘berkampung’ di hadapan lokasi konsert merupakan perkara yang biasa dalam kalangan individu yang kerap menghadiri konsert.
Namun, tindakan peminat Taylor Swift atau dikenali sebagai Swifties ‘cawangan’ Argentina ini dianggap sebagai satu perkara yang luar biasa.
Konsert Taylor Swift dijangkakan bakal berlangsung selama lima hari iaitu bermula dari 9 November sehingga 11 November 2023.
Mengambil kira tarikh konsert berkenaan, ada peminat-peminatnya di Argentina sudah berkampung di depan stadium tersebut sejak Jun lagi.
Swifties Argentina siap tampil dengan jadual ‘perkampungan’ yang sistematik
Menurut laporan Pitchfork, terdapat empat buah khemah dipasang di sekitar stadium itu dan ratusan peminat sudah mula membanjiri kawasan berkenaan.
Difaham, para peminat sudah bersepakat untuk bergilir-gilir menginap di dalam khemah berkenaan dan memastikan khemah berkenaan berpenghuni setiap masa.
Walaupun majoriti sudah pun mempunyai tiket, tujuan mereka memasang khemah dan menginap disitu adalah kerana mahu mendapatkan tempat duduk paling hampir dengan pentas.
Dalam laporan lanjut Pitchfork, rupanya ‘acara’ berkhemah di luar stadium berkenaan seawal lima bulan mempunyai penganjurnya yang tersendiri.
Malah, penganjur turut mengeluarkan satu jadual penggiliran khas untuk para peminat yang mahu menyertai ‘acara’ tersebut.
Menerusi jadual yang tular, seramai 60 orang peminat ditetapkan sebagai penghuni setiap khemah yang akan menetap di situ secara bergilir-gilir.
Berdasarkan peraturan dalam jadual berkenaan, setiap peminat perlu menghabiskan sekurang-kurangnya satu sesi bermalam di khemah tersebut. Mereka perlu memenuhi komitmen berada di dalam khemah tersebut selama 60 jam setiap bulan.
Kakitangan yang memantau aktiviti di khemah berkenaan juga menegaskan peminat tidak boleh mengabaikan komitmen tersebut setelah bersetuju untuk menyertai acara berkenaan.
Terdahulu, konsert The Eras kali pertama diadakan pada Mac tahun ini dan bakal diteruskan sehingga 2024 dengan semakin banyak negara yang terlibat.
Pada masa yang sama, sebuah filem konsert telah dilancarkan pada Oktober yang menampilkan tiga rakaman konsert Taylor Swift yang berlangsung pada di Los Angeles baru-baru ini.
Menurut laporan The Guardian, filem tersebut merupakan filem konsert yang mencatatkan kutipan paling tinggi sepanjang masa di Amerika Syarikat dalam masa satu minggu sahaja.
Sumber: The Guardian
The post Nak “Seat” Konsert Paling Depan, Peminat Taylor Swift Berkhemah Luar Stadium Lima Bulan Awal appeared first on Siakap Keli.



