
PETALING JAYA – Isu kemudahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang dilihat lebih cantik dan lengkap mencetuskan perdebatan apabila sikap culas ibu bapa dalam memberi sumbangan kepada sekolah turut menjadi perhatian.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna @Sushichukiya mendakwa ada pihak yang sering mempersoalkan mengapa sesetengah SJKC mempunyai kemudahan lebih baik, namun pada masa sama keberatan apabila diminta menyumbang kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Ramai ibu bapa mempersoalkan mengapa sekolah Cina kelihatan lebih gah dengan kemudahan yang lengkap dan canggih. Namun, apabila sekolah meminta sumbangan PIBG sebanyak RM50, ada pula yang merungut dan mempersoalkannya.
“Di sekolah Cina pula, apabila sumbangan diperlukan, jumlah sehingga RM50,000 boleh dikumpulkan,” katanya.
Seorang pengguna, @Zeruljonid berkata, sokongan kuat alumni serta ibu bapa antara faktor yang membantu sesetengah sekolah menyediakan kemudahan lebih baik.
“Alumni dan ibu bapa mereka memberikan sokongan kuat sehingga mampu membina dewan yang besar. Kemudahan itu kemudiannya boleh disewakan untuk acara bagi menjana pendapatan kepada sekolah,” katanya.
Pandangan sama dikongsikan pengguna @Miya_fyna yang mendakwa sebagai ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah di SJKC apabila sumbangan untuk aktiviti murid Islam juga dapat dikumpulkan dalam tempoh singkat.
“Apabila ustaz memaklumkan dalam kumpulan bahawa dana diperlukan untuk program keagamaan seperti Maulidur Rasul atau khatam al-Quran, tidak sampai setengah jam jumlah diperlukan sudah mencukupi. Tahun lalu ketika mengadakan majlis berbuka puasa, RM1,000 berjaya dikumpulkan dalam masa singkat. Kelengkapan surau seperti kain telekung, al-Quran dan sejadah juga disumbangkan oleh ibu bapa,” katanya.
Sementara itu, pengguna @Firdausi89 mendakwa pernah melihat sendiri perbezaan berhubung pembayaran sumbangan PIBG selepas anaknya berpindah daripada SJKC ke sekolah kebangsaan.
“Tahun lalu ketika anak saya bersekolah di SJKC, guru memaklumkan mengenai sumbangan PIBG pada waktu pagi dan menjelang petang semuanya sudah selesai membuat bayaran.
“Tahun ini, selepas anak saya berpindah ke sekolah kebangsaan, sudah memasuki bulan kedua tetapi belum sampai separuh ibu bapa membayar sumbangan PIBG,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Nak sekolah cantik, yuran PIBG RM50 pun bising’ appeared first on Kosmo Digital.
