'Nak show-off, tapi culas bayar insurans' - JPJ sita 190 kereta mewah

LocalCars
20 Aug 2026 • 7:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Nak show-off, tapi culas bayar insurans' - JPJ sita 190 kereta mewah
Mohammad Yusoff (kiri) menunjukkan antara kereta mewah yang masih dalam tindakan sita atas kegagalan memiliki perlindungan insurans dan cukai jalan hasil Op Luxury dilaksanakan JPJ Perak.

IPOH - Sebanyak 190 kenderaan mewah ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak sejak 1 Januari hingga 20 Ogos lalu menerusi pelaksanaan Op Luxury di seluruh negeri ini.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, tindakan dikenakan ke atas pemilik kenderaan atas kegagalan memiliki perlindungan insurans dan cukai jalan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 121 kenderaan telah dilepaskan manakala baki 69 lagi masih disita dan ditempatkan di lima cawangan JPJ negeri ini.

"Ini sikap manusia, kadang-kadang mereka mahu ‘show off’, mampu membeli kenderaan mewah, tetapi hakikatnya tidak mahu menanggung kos membeli perlindungan insurans dan roadtax

"Jadi kita rasakan mereka cuba mengambil tindakan mengelakkan mematuhi peraturan semasa berada di jalan raya," katanya kepada pemberita sempena sidang akhbar Op Motosikal Ekstrem di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pemilik kenderaan mewah tidak seharusnya mengambil mudah kewajipan memiliki insurans dan cukai jalan yang sah kerana ia membabitkan hak serta kepentingan pengguna sekiranya berlaku kemalangan di jalan raya.

“Ketiadaan insurans menyebabkan mangsa yang dilanggar atau terbabit dalam kemalangan dinafikan haknya sebagai pengguna jalan raya.

“Antaranya, mereka tidak boleh mendapat tuntutan yang sepatutnya mereka boleh dapat,” katanya.

Mohammad Yusoff turut memaklumkan, kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada perlindungan insurans serta Seksyen 23 (1) bagi kesalahan tiada lesen kenderaan motor atau cukai jalan.

Ujar beliau, tindakan saman bukan sahaja dikenakan terhadap pemandu, malah pemilik kenderaan turut bertanggungjawab sekiranya membenarkan kenderaan digunakan tanpa dokumen sah.

“Sebagai contoh, jika pemilik benarkan orang lain memandu kenderaan tanpa insurans dan roadtax, empat saman boleh dikeluarkan iaitu dua kepada pemilik dan dua kepada pemandu,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved