Naluri Setia, Ikatan Luar Biasa — 7 Anjing Lolos Dari Pencuri, Jalan 17KM Balik Rumah

26 Mar 2026 • 8:07 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

Changchun: Tujuh ekor anjing di timur laut China mencuri perhatian ramai selepas berjaya meloloskan diri daripada pencuri sebelum berjalan sejauh kira-kira 17 kilometer (KM) untuk pulang ke rumah.

Kejadian pada 16 Mac lalu itu tular selepas seorang saksi dikenali sebagai Lu merakam kumpulan anjing berkenaan berjalan beriringan di lebuh raya sibuk di wilayah Jilin.

Dalam rakaman tersebut, haiwan itu dilihat seolah-olah saling melindungi antara satu sama lain. Seekor anjing baka German Shepherd yang cedera dikawal rapi, manakala seekor Corgi di hadapan kerap menoleh ke belakang seakan memastikan semua ‘rakannya’ selamat.

Kumpulan itu yang terdiri daripada pelbagai baka termasuk Golden Retriever, Labrador dan Pekinese bergerak tersusun seperti satu ‘keluarga’ dalam situasi cemas.

Saksi cuba membawa mereka ke tempat lebih selamat namun tidak berjaya sebelum memuat naik video itu di Douyin bagi mendapatkan bantuan.

Ikatan Kuat Sejak Lama

Pusat Perlindungan Anjing Jalanan Bitter Coffee memaklumkan kesemua anjing tersebut berasal dari kampung yang sama dan sudah lama mempunyai ikatan kuat.

Menurut sukarelawan, haiwan itu dipercayai dicuri oleh individu yang mengendalikan kedai daging anjing sebelum berjaya melarikan diri daripada trak yang membawa mereka.

Pihak pusat perlindungan kemudian menggerakkan operasi mencari dengan bantuan sukarelawan dan dron untuk menjejaki lokasi haiwan berkenaan.

Berjaya Pulang Dengan Selamat

Pada 19 Mac, kesemua tujuh anjing itu disahkan selamat kembali kepada pemilik masing-masing daripada tiga isi rumah berbeza.

Lebuh raya tempat mereka dikesan berada kira-kira 17KM dari kampung asal, sekali gus membuktikan kemampuan luar biasa haiwan itu mencari jalan pulang.

Seorang pemilik meluahkan rasa syukur apabila anjing peliharaannya berjaya diselamatkan dan tidak berakhir di meja makan.

Tular Hingga Cetus Perdebatan

Kisah menyentuh hati ini meraih lebih 230 juta tontonan di media sosial, selain mencetuskan desakan orang ramai agar undang-undang perlindungan haiwan di China diperketatkan.

Ramai menyifatkan tindakan anjing tersebut bukan sekadar naluri, tetapi bukti kesetiaan dan ‘persahabatan’ luar biasa sesama mereka. – The Malaysian Update

The post Naluri Setia, Ikatan Luar Biasa — 7 Anjing Lolos Dari Pencuri, Jalan 17KM Balik Rumah appeared first on The Malaysian Update.