
KUALA LUMPUR - Selepas pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) mencetuskan kontroversi kerana didakwa bakal menerima tajaan Nanostix, satu lagi pasukan yang bernaung di negeri pembangkang terjebak melakukan perkara seakan sama.
Lebih mengejutkan, kontrak penajaan yang ditandatangani Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFC) itu membuktikan mereka sama sekali tidak melakukan siasatan atau kajian terperinci sebelum menerima sebarang tajaan.
Penasihat Kewangan Syariah, Dr Abdul Rahman A Shukor berkata, TFC dilaporkan telah mendatangani MOU penajaaan musim 2024/2025 dengan syarikat XFOX Market Holdings Sdn Bhd.
Menurut beliau, XFOX sebagai penaja utama bersetuju menaja RM 1.5 juta untuk pasukan berkenaan, sekali gus mempamerkan logo syarikat pada jersi TFC.
“XFOX adalah satu nama yang perlu berhati-hati. XFOX ialah skim pelaburan yang didakwa patuh syariah.
“Dana dilaburkan dalam pelbagai bentuk perniagaan seperti XFOX Mart, XFOX Coffee, XFOX Jewel, XFOX Frozen, XFOX Construction, XFOX Wellness, XFOX Seminar & Convention dan Sue & Thuya Shell-Laut dan sebagainya,” katanya.
Jelas Abdul Rahman, hibah bulanan ditawarkan XFOX mencecah lima hingga 30 peratus, melebihi Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji.

“XFOX juga menawarkan hibah harian. Jika anda masuk hari ini, esok sudah mendapat hibah harian. Ajaib sekali. Sistem pulangan pelaburan XFOX mengalahkan bank pelaburan besar.
“XFOX mendakwa menggunakan konsep Mudharabah. Mereka memaparkan video kuliah Profesor Dr. Ustaz Abdus Somad (pendakwah terkenal Indonesia) tentang Mudharabah,” katanya.
Beliau menarik perhatian, sememangnya konsep Mudharabah wujud dalam syariah tetapi persoalan yang timbul ialah, adakah XFOX melaksanakan mudharabah dengan betul.
“Siapa yang memastikannya? Siapakah Penasihat Syariah XFOX? Malangnya perkara ini tidak dinyatakan di website mereka.
“Pengasas XFOX mendakwa gerai nasi lemak tiada tanda halal. Saya berasa hairan dengan kenyataan pengasas XFOX yang cuba mengelirukan orang ramai,” katanya.
Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, XFOX adalah perniagaan besar dan melibatkan pelbagai bentuk perniagaan, justeru syarikat terbabit seharusnya memerlukan panel syariah untuk memastikan perjalanan syarikat mematuhi landasan sepatutnya.
“Jika tiada penasihat syariah nescaya mana-mana syarikat boleh mendakwa mereka patuh syariah. XFOX menyatakan Capital Guaranteed iaitu jaminan modal.
“Sebenarnya perkara ini tidak dibenarkan dalam Mudharabah. Ini adalah perkara asas. XFOX tidak menetapkan kadar hibah bulanan tetapi menjamin keuntungan setiap bulan. Perkara ini juga tidak dibenarkan dalam Mudharabah,” katanya.
Menjelaskan perkara itu, beliau memberitahu, istilah hibah biasa diguna pakai oleh syarikat scam untuk mengaburi mata masyarakat, seolah-olah pelaburan yang dilakukan adalah patuh syariah.
“Daripada aspek komersial, XFOX memberi hibah bulanan lima hingga 30 peratus. Angka ini adalah luar biasa. PNB pun tidak dapat memberi keuntungan sebesar itu.
“XFOX diterajui oleh dua adik beradik iaitu Datuk Suraya Semaru dan Datuk Suhaila Semaru. Saya semak tiada info tentang anugerah Datuk berkenaan di laman rasmi Istiadat,” katanya.

Tegas Abdul Rahman, XFOX membuka dana pelaburan dan menerima dana daripada orang ramai, yang jelas menyalahi undang-undang kerana syarikat terbabit tidak mempunyai lesen di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC).
“Pada 14 Jun 2023, BNM telah senaraikan XFOX di dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan. Kebiasaannya apabila sebuah syarikat disenaraikan dalam senarai ini, ia menunjukkan syarikat itu mempunyai masalah dari segi undang-undang.
“Saya mendapati banyak sangat red flag pada XFOX. Dengan itu, status patuh syariah yang diwarwarkan oleh XFOX adalah too good to be true.
"TFC ialah anak syarikat kerajaan negeri Terengganu. Malangnya pihak TFC tidak melakukan due diligence dengan sebaiknya,” katanya, kesal.
Abdul Rahman berkata, penajaan tersebut membolehkan XFOXA menjaja cerita kononnya syarikat mereka sudah disahkan sahih oleh kerajaan negeri Terengganu.
“Dengan kata lain, Kerajaan Negeri Terengganu bersekongkol dengan XFOX. Jika berlaku XFOX mengalami gejala tersontot maka Kerajaan Negeri Terengganu akan terpalit bersama.
“Saya sarankan kepada TFC agar membatalkan dengan segera MOU dengan XFOX. Banyak lagi syarikat lain yang boleh menjadi penaja TFC. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya,” katanya. - Getaran, 11 Jun 2024

