Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Murid perempuan yang cedera ditikam sebanyak 16 kali di sebuah sekolah di Banting, Selangor semalam (6 Julai) dipercayai merupakan salah seorang daripada 10 individu yang berada dalam senarai nama didakwa sasaran suspek.
Perkara itu dimaklumkan sendiri bapa mangsa, Mohd Firuz Ibrahim, 43, yang mendedahkan bahawa anaknya merupakan individu ke-10 di dalam senarai nama terbabit.
Tular Di Media Sosial Dokumen Bertulis Didakwa Milik Suspek
Sebelum ini, tular di media sosial menunjukkan beberapa helaian kertas didakwa milik suspek berusia 15 tahun itu.
Selain surat yang disyaki merupakan pelan pembunuhan beramai-ramai, terdapat juga senarai nama sasaran bunuh yang didakwa milik suspek.
“Nampaknya nama anak saya ada dalam senarai itu di nombor 10,” kata Mohd Fairuz, lapor Berita Harian.

Bapa Tak Pasti Sama Ada Surat & Senarai Nama Tular Ditulis Oleh Suspek
Pun begitu, jelas Mohd Firuz, dia tidak pasti sama ada senarai nama itu benar-benar ditulis oleh suspek ataupun hanyalah rekaan.
Susulan itu, si bapa telah memberi keterangan kepada pihak polis dan menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung foto dokumen tular.
Bapa Mangsa Sebelum Ini Nafi Anaknya Merupakan Sasaran Suspek Tikam
Sebelum ini, Mohd Firuz berkata bahawa suspek merupakan rakan sekelas anaknya semasa berada di Tingkatan Dua.
Bagaimanapun memetik laporan media, si bapa semalam menafikan bahawa anaknya merupakan sasaran kejadian serangan mengejutkan itu sebaliknya hanya tidak sempat melarikan diri.
“Mereka kenal satu sama lain. Mereka rakan sekelas tahun lepas. Namun saya rasa anak saya bukan sasaran.
“Mungkin dia mahu menyasarkan orang lain, tetapi anak saya kebetulan berada paling dekat dengannya. Mungkin juga kerana badan anak saya agak besar, dia tidak sempat melarikan diri,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Pelajar Parah Ditikam Di Sekolah: Bapa Fikir Anak Jatuh Sakit, Terkejut Lepas Tahu Ditikam
Anak Saya Bukan Pembuli – Bapa Mangsa
Bertanya tentang dakwaan insiden ini berkait dengan kes buli, Mohd Firuz menjelaskan bahawa anak perempuannya bukan seorang pembuli dan jarang keluar dari rumah tanpa ditemani oleh ibu atau bapanya.
“Keluarga kami tidak mengenali keluarga suspek dan setakat ini masih belum ada sebarang hubungan atau pertemuan antara kedua-dua keluarga.
“Namun, kami terbuka untuk mengadakan pertemuan sekiranya cadangan sedemikian dikemukakan,” katanya.
Mangsa kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan selama kira-kira tiga jam namun masih dalam pemantauan doktor dan jururawat.
Suspek Direman 4 Hari Bermula 7 Julai 2026
Pelajar perempuan berusia 15 tahun yang disyaki menikam rakan sekolahnya direman selama empat hari bermula hari ini, 7 Julai bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, peguam bela dari Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Vijeswari Devi mendedahkan bahawa suspek merupakan orang kurang upaya (OKU), iaitu seorang autistik.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Tikam Murid Perempuan Di Sekolah: Pelajar 15 Tahun Direman Empat Hari, Peguam Sahkan Suspek OKU



