Nama KLIA dan KLIA2 digabung, akan ditukar kepada KLIA Terminal 1 dan Terminal 2

10 Feb 2023 • 11:35 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Jangan terkejut jika AirAsia tidak lagi terbang di KLIA2 kerana nama lapangan terbang akan diubah tidak lama lagi. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah mengumumkan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bakal dijenamakan semula sebagai KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2.

Menurut Anthony, Kabinet telah bersetuju dengan cadangan penjenamaan semula ini kerana ia dilihat bakal memperkukuhkan persaingan dengan lapangan terbang antarabangsa serantau. Ia juga boleh memberi nilai yang lebih tinggi dalam memasarkan perkhidmatan di lapangan tersebut dengan lebih berkesan.

image is not available

Perkara ini sepatutnya sudah lama digunakan kerana KLIA dan KLIA2 menggunakan landasan penerbangan yang serupa. Malah, KLIA dan KLIA2 juga terletak bersebelahan sahaja dan berkongsi kod terminal yang sama, iaitu KUL. Berbeza dengan Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT) dahulu yang terletak agak jauh daripada KLIA.

Penggunaan nama Terminal juga adalah standard yang digunakan di lapangan terbang di seluruh dunia. Ia akan memudahkan pengguna dan pelancong luar negara, supaya tidak keliru bahawa KLIA dan KLIA2 sebenarnya adalah lapangan terbang yang sama dan dekat dengan nama Terminal 1 dan Terminal 2.

Dalam pengumuman yang sama, Anthony juga menyatakan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian operasi baru (OA 2023) antara kerajaan dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB). Perjanjian OA 2023 melibatkan pengoperasian, pengurusan, selenggara dan membangun 39 buah lapangan terbang dan padang terbang di Malaysia, sehingga tahun 2069.

Antaranya isi perjanjian OA 2023 adalah menubuhkan akaun amanah pembangunan lapangan terbang, dikenali sebagai Airport Development Fund (ADF). Ia membolehkan penerimaan sumbangan daripada pengguna lapangan terbang, orang awam dan juga syarikat-syarikat penerbangan, serta tidak melibatkan sumbangan daripada dana kerajaan.

Di samping itu, OA 2023 membolehkan MAHB meringakan beban kerajan dengan mengambil alih kos pembangunan lapangan terbang yang kompetitif dan berdaya saing di masa hadapan. MAHB juga boleh menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk melabur dalam pembangunan lapangan terbang.

Perjanjian OA 2023 akan dimuktamadkan selewat-lewatnya sebelum akhir suku pertama tahun 2023, atau akhir bulan Mac 2023.

[Sumber: MOT]