
ALOR SETAR – Berbentuk segi empat tepat, mempunyai pelbagai perisa seperti pudina, buah-buahan, kopi dan pencuci mulut serta dibungkus di dalam bekas seperti gula-gula.
Sekali pandang, uncang nikotin yang dipromosi secara meluas di platform dalam talian dan dijual kedai-kedai vape tidak ubah seperti gula-gula, namun produk itu disifatkan sebagai ‘bom jangka’ kerana boleh menyebabkan ketagihan terutama dalam kalangan remaja.
Pegawai Farmasi (Penyelaras Bidang Kawalan Tembakau) Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia, Sulastri Samsudin berkata, uncang nikotin yang dijual dalam sarung mikrofiber mengandungi serbuk nikotin sama ada sintetik atau berasaskan ekstrak tembakau.
Katanya, kebiasaannya produk tersebut dibungkus di dalam bekas seperti bekas gula-gula yang mudah dibuka selain tiada ciri-ciri keselamatan untuk kanak-kanak.
“Pembungkusannya yang berwarna-warni menyerupai gula-gula atau snek menjadikan produk tersebut amat menarik perhatian dan mudah disalah anggap sebagai makanan oleh kanak-kanak.
“Selain itu, uncang nikotin mempunyai pelbagai perisa yang secara jelas menarik minat golongan muda termasuk pelajar seperti pudina, buah-buahan, kopi, kulit kayu manis dan pencuci mulut,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Sulastri berkata, golongan muda akan mudah tertarik kerana sifat produk uncang nikotin yang kecil, tidak berasap dan tidak perlu diludah.
Jelasnya, ciri-ciri itu membolehkan golongan tersebut menggunakannya secara sembunyi di dalam kelas, kawasan sekolah atau di hadapan ibu bapa tanpa dikesan.
“Apabila produk ini diformulasikan dalam pelbagai perisa seperti makanan dan ketiadaan asap tembakau, ia memberi ilusi atau persepsi palsu bahawa uncang nikotin adalah selamat, sedangkan ia mengandungi bahan kimia utama yang menyebabkan ketagihan dan kesan toksik iaitu nikotin,” katanya.
Cara penggunaannya yang mudah dengan meletakkan uncang antara gusi dan pipi tanpa mengeluarkan asap seperti rokok atau vape menyebabkan produk itu menjadi pilihan pengguna.
Sulastri berkata, semakan pendaftaran produk berasaskan nikotin dalam sistem pendaftaran produk Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan mendapati tiada produk uncang nikotin yang didaftarkan setakat ini.
“Produk mengandungi nikotin seperti uncang nikotin tertakluk di bawah kawalan Akta Racun 1952 yang memerlukan kawalan ketat dari segi penjualan, pembungkusan dan kandungan nikotin di dalamnya,” katanya.
Dari sudut toksikologi, katanya, nikotin sebagai bahan utama di dalam uncang nikotin adalah bahan kimia perangsang saraf yang sangat toksik.
“Pengguna terdedah kepada ketagihan teruk apabila nikotin daripada produk tersebut diserap terus melalui mukosa mulut ke dalam saluran darah sebelum sampai ke otak hanya dalam tempoh beberapa saat.
“Keadaan itu menyebabkan paras dopamin meningkat dengan pantas, sekali gus mendorong kepada ketagihan yang boleh menjadi ‘pintu masuk’ kepada penggunaan rokok konvensional atau vape pada masa hadapan kerana semuanya berasaskan nikotin,” katanya.
Jelas beliau, risiko utama kepada tubuh termasuklah peningkatan mendadak kadar denyutan jantung, peningkatan tekanan darah, risiko penyempitan pembuluh darah yang membebankan jantung serta memberi kesan kepada sistem penghadaman seperti loya, muntah dan kekejangan perut.
“Pendedahan berterusan boleh menyebabkan kerengsaan gusi, kerosakan mukosa mulut dan penarikan gusi (gum recession),” ujarnya.
Berhubung kandungan nikotin dalam produk itu, Sulastri berkata, setakat ini Pusat Racun Negara tidak menjalankan sebarang analisis terhadap kandungan uncang nikotin, namun terdapat kajian dilakukan ke atas sampel uncang nikotin di pasaran.
“Kajian tersebut melaporkan wujud produk dengan tahap nikotin tinggi yang boleh mencecah 56 miligram (mg) bagi setiap uncang.
“Pemerhatian umum kandungan nikotin yang dijual di platform dalam talian juga menunjukkan terdapat uncang nikotin dijual dalam julat 4mg hingga 30mg nikotin,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan berulang dalam jumlah banyak dan masa yang singkat amat berisiko mengakibatkan keracunan nikotin akut.
“Dalam satu laporan kes klinikal, seorang pemuda berusia 21 tahun dikejarkan ke hospital akibat kekeliruan mental selepas menggunakan 15 uncang nikotin berturut-turut dengan 10.9mg setiap satu dalam tempoh 12 jam untuk berjaga malam bagi tujuan belajar.
“Gejala awal jika berlaku keracunan antaranya sakit kepala, kekeliruan, badan menggeletar (tremors), kegelisahan, loya, berpeluh sejuk dan tekanan darah tinggi.
“Jika tidak dikawal, ia boleh melarat kepada koma, sawan, otot menjadi lemah, kehilangan refleks dan kegagalan pernafasan,” ujarnya.
Katanya, lebih membimbangkan, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar dengan kewujudan produk baharu itu khususnya ibu bapa dan petugas kesihatan.
“Melihat kepada negara seperti Amerika Syarikat yang lebih dahulu memasarkan uncang nikotin, penggunaan dalam kalangan remaja di sana telah mencapai tahap epidemik. Jika tiada kawalan, Malaysia juga akan melahirkan generasi baharu yang ketagihan nikotin tulen,” ujarnya.
Tambahnya, dakwaan bahawa produk tersebut lebih selamat berbanding rokok konvensional perlu dilihat dengan lebih berhati-hati kerana kurang mudarat tidak bermakna tiada mudarat.
“Ia mungkin tidak mendedahkan paru-paru kepada tar, karbon monoksida atau bahan kimia lain seperti rokok dan vape, tetapi ia masih mempunyai bahan kimia perangsang iaitu nikotin.
“Ia akan masuk ke dalam salur darah seterusnya boleh mengganggu kesihatan jantung, saraf, pernafasan dan menyebabkan ketagihan berterusan sehingga menjejaskan kualiti hidup,” katanya.
Sulastri berkata, setakat ini tiada kajian atau tinjauan khusus mengenai trend penggunaan uncang nikotin dalam kalangan rakyat Malaysia.
The post Nampak macam gula-gula rupanya nikotin beracun appeared first on Kosmo Digital.
