NanoMalaysia, Sailcott bekerjasama bangunkan prototaip pengecas tanpa wayar autonomi untuk kemudahan perubatan

25 May 2023 • 6:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

NanoMalaysia, Sailcott bekerjasama bangunkan prototaip pengecas tanpa wayar autonomi untuk kemudahan perubatan

zulfadli

25/05/2023 - 18:17

KUALA LUMPUR 25 Mei - NanoMalaysia Bhd dan Sailcott (M) International Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan prototaip Pengecas Tanpa Wayar Autonomi bagi Penggosok Lantai untuk kemudahan perubatan pada peringkat awal perkongsian.

Kerjasama itu juga untuk memajukan integrasi teknologi pengecas tanpa wayar dan teknologi autonomi tempatan bagi tujuan pemantauan dalam sektor keselamatan awam, pengangkutan dan perindustrian.

Menerusi perjanjian ini, pelaksanaan dan pengurusan projek akan dilaksanakan oleh NanoMalaysia menerusi subsidiarinya, Nano Commerce Sdn Bhd (NCSB) yang bertindak sebagai pembekal penyelesaian teknologi, manakala Sailcott akan menjadi penyedia platform.

Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad berkata, melalui program Nanotech Remote Energy System (NREgS), pihaknya membangunkan teknologi pengecasan tanpa wayar dan pengumpulan tenaga untuk pelbagai aplikasi termasuk industri penjagaan kesihatan.

Katanya, projek ini adalah prototaip untuk pengecasan tanpa wayar bagi robot autonomi dan sejajar dengan program Enabling Mobility Electrification for Green Economy (EMERGE) oleh NanoMalaysia.

"Perkongsian ini menjadi langkah penting ke arah membangunkan pengecas tanpa wayar autonomi untuk penggosok lantai untuk kemudahan perubatan di Malaysia.

"Matlamat kami adalah untuk menyediakan rumusan yang menjimatkan kos bagi industri pembersihan hospital dan meningkatkan kecekapan dan keselamatan pembersihan hospital.

image is not available

"Langkah ini seterusnya akan membawa kepada pertumbuhan industri tempatan dan pembangunan teknologi inovatif di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, majlis menandatangani MoU kedua-dua pihak disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Aminuddin Hassim sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23).

Ketua Pegawai Eksekutif Sailcott, Shaifull Naim Othman pula berkata, kerjasama ini membolehkan pihaknya memanfaatkan kepakaran syarikat dalam pengintegrasian sistem dan teknologi autonomi bagi mencipta rumusan yang mengurangkan keperluan campur tangan manusia dalam pembersihan hospital.

"Kami yakin projek ini boleh menjadi pengubah kepada industri pembersihan hospital dan kami akan dapat menjayakan kerjasama dengan rakan kongsi bagi mencapai matlamat ini," katanya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama jangka panjang, NanoMalaysia dan Sailcott telah menetapkan sasaran mereka untuk membangunkan robot pengecasan tanpa wayar yang boleh berfungsi secara autonomi tanpa memerlukan sokongan luaran.

Robot canggih ini akan dilengkapi dengan pengesan dan kamera terkini bagi membolehkannya menjalankan pemantauan masa nyata dalam persekitaran pertahanan dan pengawasan.

Projek ini akan dibangunkan bersama rakan teknikal PEARL UM, UiTM, Sailcott dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), yang akan dilaksanakan di PPUM mulai tahun ini. - DagangNews.com

View Original Article