Naratif tukar kerajaan beri impak tidak baik pada negara

LocalPolitics
23 Jan 2025 • 2:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azman (kiri) menyampaikan sumbangan pada Program Bantuan One Off Perdana Menteri anjuran bersama Pertubuhan Masyarakat Madani Gaul Ipoh (MMGI) di Tanah Merah pada Khamis.

TANAH MERAH - Tindakan pembangkang yang terus memainkan naratif kerajaan akan bertukar tanpa melalui sistem pilihan raya boleh memberikan impak tidak baik kepada negara.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, tindakan itu boleh mengundang rasa kurang yakin kepada pelabur asing untuk melabur modal di sini.

"Bila tidak ada pelabur datang ke Malaysia, kerajaan tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Jadi, negara kita akan terus terkebelakang.

"Sebab itulah kestabilan kerajaan yang ada pada hari ini penting. Kita mesti kekalkan kerajaan yang ada bagi membolehkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Bantuan One Off Perdana Menteri anjuran bersama Pertubuhan Masyarakat Madani Gaul Ipoh (MMGI) di sini pada Khamis.

Menurut beliau, rakyat hari ini boleh melihat sendiri bagaimana usaha Perdana Menteri dalam memastikan kestabilan negara pada tahap terbaik dengan berusaha menarik pelabur datang ke Malaysia.

Beliau turut menasihatkan pembangkang supaya bersama-sama kerajaan membangunkan negara dan kurangkan berpolitik.

"Jika mahu berpolitik tunggulah waktu sepatutnya iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya.