Angkasa lepas ialah perbatasan akhir manusia dengan NASA kini dalam proses mengembalikan manusia ke permukaan bulan menerusi Misi Artemis IV. Selepas itu NASA ingin membina pangkalan kekal di permukaan bulan dan semalam mereka telah berkongsi perancangan bagaimana ia akan dilakukan.
Menerusi dasar angkasa lepas baharu, NASA ingin melakukan pendaratan di bulan setiap 6 bulan. Selepas ini dicapai, fasa pertama pembinaan pangkalan akan dimulakan dengan ia menjadi platform membina, menguji dan mempelajari apakah yang boleh berfungsi di bulan. Binaan, kenderaan dan sistem janakuasa nuklear akan diuji secara menyeluruh dalam fasa pertama.

Fasa kedua mengambil pengajaran daripada misi awal untuk membina infrastruktur separa boleh didiami dan logistik tetap. Fasa ini menyokong operasi angkasawan berulang di permukaan dan menggabungkan sumbangan rakan antarabangsa. Kenderaan bulan JAXA dan Toyota misalnya akan digunakan serta keupayaan infrastruktur dan pengangkutan yang lain.
Fasa ketiga pula melihat manusia tinggal secara kekal di bulan dengan bantuan sistem pendaratan yang boleh membawa kargo lebih berat. Sistem Habitat Pelbagai Guna (MPH) Agensi Angkasa Itali, Kenderaan Utiliti Lunar Agensi Angkasa Kanada (CSA), dan pelbagai lagi akan digunakan pada pangkalan kekal bulan ini.

Seterusnya menjelang 2028, NASA akan melancarkan Space Reactor‑1 Freedom, kapal angkasa antara planet berkuasa nuklear pertama ke Marikh. Sistem tujahan elektrik nuklear menyediakan keupayaan luar biasa untuk membolehkan misi melangkaui Musytari di mana panel solar tidak berkesan.
Apabila SR-1 Freedom sampai ke Marikh, ia akan menggunakan helikopter Skyfall untuk melakukan penerokaan. SR‑1 Freedom akan dijadikan piawaian untuk peraturan dan pelancaran, serta mengaktifkan asas industri bagi sistem kuasa nuklear masa depan untuk sistem tujahan, operasi permukaan dan misi jangka panjang ke Marikh serta luar sistem suria.



