NASA kongsi imej gugusan galaksi paling jauh & jelas setakat ini

Space
12 Jul 2022 • 5:18 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

NASA baru-baru ini telah kongsikan imej pertama yang diperolehi melalui Teleskop Angkasa James Webb, iaitu gugusan galaksi SMACS 0723. Ini merupakan imej galaksi terjauh dan paling jelas yang diperolehi setakat ini. Ia dikenali sebagai Webb's First Deep Field.

Yang menakjubkan ialah, buat pertama kalinya, anda kini boleh lihat dengan jelas beribu-ribu galaksi termasuklah objek paling samar yang pernah ditontonkan dalam inframerah. Jika anda rasa imej ini besar, sebenarnya gambar yang dikongsikan ini adalah sebahagian kecil alam semesta sahaja. Ia diibaratkan seperti sebutir pasir yang berada di paras lengan seseorang di atas tanah.

NASA dengan kerjasama ESA (Agensi Angkasa Eropah) dan CSA (Agensi Angkasa Kanada), akan kongsikan gambar lengkap pertama dari teleskop Webb yang penuh warna melalui siaran TV, pada 12 Julai bermula pada 10:30 malam waktu Malaysia. Anda boleh ketahui cara untuk menontonnya di sini.

Ini bukanlah kali pertama ahli astronomi kongsikan imej gugusan galaksi SMACS 0723. Hubble juga ada kongsikannya. Tapi, perincian dan resolusi imej Webb nampak jauh lebih baik daripada Hubble. Anda boleh lihat imej dari Hubble di bawah ini.

image is not available

Teleskop Angkasa James Webb

Sebelum ini, imej angkasa dicerap melalui Teleskop Angkasa Hubble. Nampaknya, ia bakal digantikan dengan Teleskop Angkasa James Webb yang telah dilancarkan pada 25 Disember 2021 lalu. Teleskop ini akan menjadi balai cerap utama dalam masa yang akan datang, sekaligus bakal berkhidmat untuk beribu-ribu ahli astronomi di seluruh dunia.

Beberapa teknologi inovatif telah dibangunkan untuk Webb. Salah satu ciri terbesarnya ialah pelindung matahari lima lapisan bersaiz gelanggang tenis yang berfungsi untuk melemahkan haba daripada Matahari lebih daripada sejuta kali. Tujuan melemahkan haba adalah untuk melindungi komponen elektroniknya daripada bahang matahari.

[Sumber: NASA, Petapixel]