NASA melaporkan bahawa kenaikan paras laut global pada tahun 2024 ialah sebanyak 0.23 inci (0.59cm) setahun, yang sebenarnya melebihi jangkaan asal iaitu 0.17 inci (0.43cm) setahun. Fenomena ini disebabkan oleh beberapa faktor, termasuklah pencairan ais dan glasier, serta pengembangan haba (thermal expansion) di lautan akibat peningkatan suhu global.

Josh Willis, yang merupakan penyelidik paras laut di NASA Jet Propulsion Laboratory Southern California menyatakan bahawa kenaikan paras laut pada tahun 2024 adalah lebih tinggi daripada jangkaan. Beliau menambah bahawa walaupun terdapat sedikit perbezaan setiap tahun, paras laut itu terus meningkat dengan kadar kenaikan yang semakin pantas.
Tahun 2024 juga mencatat sejarah sebagai tahun paling panas dengan perubahan iklim yang ketara menjadi punca utama. Kajian mendapati bahawa dua pertiga daripada kenaikan paras laut sepanjang tahun ini berpunca daripada pengembangan haba (thermal expansion) di lautan. Sejak 1993, paras laut global telah meningkat sebanyak 4 inci (10cm) dengan kadar kenaikan tahunan kini lebih dua kali ganda berbanding sebelumnya.

Fenomena El Nino turut menjadi penyebab dengan pergerakan air panas dari rantau Pasifik barat yang bukan sahaja meningkatkan suhu dalam kawasan tertentu. Malahan situasi ini turut mengakibatkan gangguan kepada cuaca secara tidak menentu lalu mempercepatkan kenaikan paras air laut. Dapatan laporan ini diperoleh melalui pemantauan menerusi teknologi satelit canggih seperti TOPEX/Poseidon dan Sentinel-6 Michael Freilich.
Sebelum ini terdapat juga tinjauan saintis yang menunjukkan rupa sebenar Antartika sekiranya semua ais mencair. Saintis mengatakan jika kesemua air Antartika cair, air laut di bumi akan meningkat setinggi 58 meter. Benua Antartika pula tidak akan tenggelam sepenuhnya tetapi akan naik lebih tinggi kerana tidak lagi perlu menanggung ais seberat 24.759 quadrillion ton.
