Nasi Tenong Tarikan Baharu Payang Water Taxi

30 Mar 2023 • 8:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penumpang bot ditawarkan dengan tarikan baharu iaitu penyediaan pakej 'Nasi Tenong' untuk mereka yang menggunakan perkhidmatan itu sepanjang Ramadan ini. - Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU - Penumpang bot Payang Water Taxi di sini ditawarkan dengan tarikan baharu iaitu penyediaan pakej 'Nasi Tenong' untuk mereka yang menggunakan perkhidmatan itu sepanjang Ramadan ini.

Cas Ligas Sdn Bhd (CLSB), anak syarikat kerajaan Terengganu yang mengendalikan perkhidmatan itu, yakin inisiatif berkenaan mampu memartabatkan tradisi lama 'tenong' atau mangkuk tingkat dalam kalangan orang ramai yang menelusuri Sungai Terengganu menggunakan 'teksi air' itu.

"Mangkuk tingkat sinonim dengan masyarakat Melayu lama... kami mahu menyemarakkan kembali penggunaan tenong yang menjadi tradisi orang dulu-dulu," kata Pengerusi CLSB Zakaria Dagang ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkan pakej Nasi Tenong di sini, malam tadi.

image is not available
Antara juadah berbuka puasa yang disediakan Payang Water Taxi sepanjang Ramadan. - Gambar Bernama

 Zakaria berkata pakej itu mengandungi hidangan istimewa seperti ikan baung masak tempoyak dan nasi Arab, namun setakat ini perkhidmatan itu dihadkan untuk 32 penumpang sehari dan mereka yang berminat perlu membuat tempahan terlebih dahulu.

Beliau berkata selain pakej Nasi Tenong, orang ramai juga boleh menikmati pengalaman berbuka puasa di atas bot dengan membawa makanan sendiri sambil melihat keindahan jambatan angkat dan beberapa mercu tanda lain negeri ketika menelusuri sungai.

"Perkhidmatan ini sebenarnya pakej river cruise biasa yang kita tawarkan pada hari biasa tetapi pada Ramadan kita benarkan pelanggan bawa makanan dan hanya kenakan caj RM15 untuk dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak," katanya. - Bernama