Nasib dua lagi Ahli Parlimen Bersatu sokong PM dibincang malam ini

Politics
9 Nov 2023 • 11:44 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini untuk membincangkan tindakan dua lagi pemimpin parti itu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik, bercanggah dengan pendirian parti.

Tegasnya, tindakan tersebut adalah pelanggaran disiplin parti yang serius, selain membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan Perikatan Nasional (PN).

“Saya mendapat maklumat bahawa terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu PN dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap Ahli-Ahli Parlimen.

“Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat ini dan tindakan yang lebih tegas akan diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Muhyiddin turut menyeru ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi parti itu menangani perkara tersebut.

Terdahulu, Mohd Azizi dan Zahari masing-masing menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Anwar dalam tempoh kurang 24 jam.

‘Trend’ itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu dan diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober lalu.

Iskandar Dzulkarnain dan Suhaili masing-masing digantung keahlian empat dan enam tahun oleh Bersatu, manakala dua lagi bakal menerima nasib yang serupa selepas ini. – 9 November, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved