Nasib representasi bekas CEO, akauntan GISBH diketahui 5 Oktober

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 12:16 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Nasib representasi bekas CEO, akauntan GISBH diketahui 5 Oktober

Image from: Nasib representasi bekas CEO, akauntan GISBH diketahui 5 Oktober

SHAH ALAM – Status representasi bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) bersama tiga bekas akauntannya terhadap 331 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM38.1 juta diketahui pada 5 Oktober depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Datin Fatimah Zahari menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memaklumkan representasi yang dikemukakan pihak pembelaan masih dalam penelitian Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Keputusan (representasi) masih belum diperolehi puhka pendakwaan. Pihak kami juga baharu terima representasi tambahan daripada pihak pembelaan.

“Justeru, saya memohon satu tarikh baharu kira-kira satu bulan setengah dari hari ini (bagi tujuan keputusan representasi) ,” katanya.

Peguam Muhammad Zaim Rosli mewakili Nasiruddin Mohd. Ali, 67, serta pasangan suami isteri iaitu Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 46, dan Mohd. Khushairi Osman, 55, mengesahkan mengemukakan representasi tambahan itu.

“Ini bagi membolehkan pendakwaan meneliti dan mendapat pertimbangan AGC,” jelasnya.

Pada prosiding itu, Muhammad Zaim turut menyebut bagi Peguam Kamal Hisham yang mewakili Hamimah Yakub, 74.

Bagaimanapun, tidak dedahkan representasi yang difailkan itu sama ada memohon pertuduhan ditarik balik, dikurangkan, atau diubah.

Berdasarkan pecahan pertuduhan, Nasiruddin didakwa sebanyak 77 pertuduhan berjumlah RM10,084,323.70 manakala Hamimah dengan 95 pertuduhan bernilai RM11,428,811.20.

Asmanira pula 68 pertuduhan bernilai RM4,688,205.01 sementara 91 pertuduhan berjumlah RM11,958,561.10 bagi Mohd. Khushairi.

Pertuduhan bagi kesemua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum dibawah Subseksyen (4)1 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Kesemua pertuduhan itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Kulim selain Shah Alam.

Kosmo! pada 11 November tahun lalu melaporkan sejumlah 230 pertuduhan penggubahan wang haram (AMLA) bernilai lebih 2.41 juta yang dilakukan keempat-empat tertuduh di Selangor dibicarakan serentak di Mahkamah Sesyen.

Selain itu, Hamimah turut didakwa 35 pertuduhan berjumlah RM9.28 juta di Mahkamah Sesyen Kulim dan Asmat @Asmanira dengan 22 pertuduhan (RM881, 813) di Mahkamah Johor Bharu serta 40 pertuduhan bernilai RM3.82 juta batu Mohd. Khushairi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

The post Nasib representasi bekas CEO, akauntan GISBH diketahui 5 Oktober appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved