'Nasib simpan bukti...' Kronologi insiden bayi didakwa tertukar, dua bayi lelaki dan perempuan pakai tag nama isteri, suami buat laporan polis

LocalFamily & Parenting
15 May 2026 • 11:08 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Nasib simpan bukti...' Kronologi insiden bayi didakwa tertukar, dua bayi lelaki dan perempuan pakai tag nama isteri, suami buat laporan polis

INSIDEN pertukaran bayi secara tidak sengaja di sebuah wad di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur tular menjadi perhatian warga maya. 

Bagaimanapun isu bayi yang berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) telah diselesaikan dan bayi berkenaan telah diserahkan semula kepada ibu masing-masing dalam keadaan selamat.

Pengarah Hospital Tunku Azizah (HTA), Dr Shamsul Anuar Kamarudin dalam kenyataan kepada Bernama pada Khamis memaklumkan tindakan pembetulan segera telah diambil sebaik sahaja perkara tersebut disedari.

Ujarnya, pihak hospital memberikan penerangan serta sokongan yang sewajarnya kepada ahli keluarga yang terlibat dan hasil semakan awal mendapati tiada sebarang prosedur penyusuan atau rawatan yang menjejaskan keselamatan bayi berlaku sepanjang tempoh kejadian berkenaan.

"HTA memahami kebimbangan dan perhatian orang ramai susulan penyebaran perkara ini di media sosial.

"Sehubungan dengan itu, pihak hospital telah mengambil tindakan segera mengikut prosedur yang ditetapkan serta memastikan aspek keselamatan dan kebajikan bayi-bayi yang terlibat sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Image from: 'Nasib simpan bukti...' Kronologi insiden bayi didakwa tertukar, dua bayi lelaki dan perempuan pakai tag nama isteri, suami buat laporan polis
Foto: Ihsan Berita Harian

Berikut adalah laporan portal berita tempatan berkaitan insiden berkenaan:

1-Memetik Berita Harian, bapa, Muhammad Harraz Haziq, 24, memaklmkan kejadian bermula apabila isterinya selamat melahirkan anak perempuan mereka pada 7 April lalu.

2-Menurutnya, bayi mereka sepatutnya dibenarkan discaj pada 8 April, namun terpaksa ditahan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU). selepas disahkan mengalami masalah jaundis (demam kuning).

3-Difahamkan, pada malam 8 April, jururawat datang untuk mengambil bayi kami bagi tujuan ujian darah. Kira-kira jam 5 pagi esoknya, jururawat memulangkan semula bayi dan meletakkannya di dalam inkubator.

4-Bagaimanapun, pada jam 6 pagi, isterinya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan mendapati bayi yang diserahkan itu adalah bayi lelaki, bukannya anak perempuan.

5-Muhammad Harraz mendakwa, apabila dia membangkitkan isu berkenaan, pihak wad seolah-olah meragui kenyataannya dan mempertikaikan jantina sebenar anaknya.

Image from: 'Nasib simpan bukti...' Kronologi insiden bayi didakwa tertukar, dua bayi lelaki dan perempuan pakai tag nama isteri, suami buat laporan polis

6-Dakwanya, petugas kesihatan mempersoalkan semula jantina bayinya, seolah-olah rekod atau bayi yang ada ketika itu tidak sepadan dengan maklumat asal.

7-Bapa berkenaan berkata, tindakannya mengambil gambar borang pengesahan kelahiran sebagai bukti bahawa anak mereka memang perempuan menyelamatkan keadaan.

8-Anak perempuan mereka kemudian ditemui pada hari yang sama iaitu pada 9 April.

9-Tetapi dia sekali lagi berasa pelik dan kecewa kerana kedua-dua bayi lelaki dan perempuan memakai tanda nama yang tertera nama isterinya.

10-Kecewa dengan insiden yang disifatkan sebagai satu kecuaian yang amat serius, dia cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada pasukan perubatan yang terbabit, namun mendakwa masing-masing seolah-olah cuba mengelak.

11-Malah, usahanya untuk menghubungi doktor yang bertanggungjawab bagi mendapatkan pencerahan juga menemui jalan buntu.

12-Susulan itu, bapa berkenaan bertindak membuat satu laporan polis berhubung insiden berkenaan pada 10 April lalu untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, HTA memandang serius perkara itu dan satu siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta menambah baik prosedur kerja sedia ada bagi mengelakkan insiden seumpama berulang.

"Pihak hospital juga akan memperkukuh langkah kawalan dalaman bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberi.

"HTA komited untuk memastikan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan dan amat menghargai kerjasama serta kefahaman semua pihak,” katanya. 

Sumber: Berita Harian, Bernama