haziq29/12/2025 - 12:14 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Dis – Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) berpangkalan di Pulau Pinang, NationGate Holdings Bhd bersetuju mengambil alih Valeo Malaysia CDA Sdn Bhd daripada pembekal automotif Perancis, Valeo SE pada harga RM60.89 juta secara tunai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, NationGate berkata anak syarikat milik tidak langsungnya yang dimiliki sepenuhnya, NationGate System Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Valeo pada 24 Disember untuk memperoleh 100% kepentingan ekuiti melibatkan 168.2 juta saham dalam Valeo Malaysia.
Valeo Malaysia terlibat dalam pembuatan komponen automotif termasuk komponen acuan suntikan plastik, pemasangan papan litar bercetak (PCBA), ujian akhir serta pemasangan modul dan produk automotif.
NationGate berkata, pengambilalihan itu selari dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh dan mengembangkan perniagaan terasnya, di samping membolehkan kumpulan memperluas pangkalan pelanggan serta memperoleh akses langsung kepada pelanggan automotif utama.
“Pengambilalihan ini dijangka memberikan manfaat sinergi menerusi peningkatan kecekapan kos, integrasi yang lebih lancar, pengoptimuman proses pengeluaran serta penggunaan sumber bersama yang lebih berkesan,” katanya dalam makluman itu.
Walaupun kesan segera terhadap keuntungan tidak dapat ditentukan dengan tepat berikutan keadaan pasaran dan ekonomi semasa, NationGate menjangkakan pengambilalihan berkenaan akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan serta prospek pertumbuhan jangka panjangnya.
Valeo Malaysia turut memiliki dua lot tanah pegangan pajakan bersama sebuah bangunan kilang yang terletak di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang yang dijangka dapat memperkukuh jejak pembuatan NationGate.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, Valeo Malaysia mencatatkan kerugian bersih RM1.96 juta dengan aset bersih RM18.45 juta.
Namun, bagi tempoh 1 Januari 2025 hingga 30 April 2025, syarikat merekodkan keuntungan bersih RM4.35 juta manakala aset bersih meningkat kepada RM22.79 juta.
Selepas selesai urus niaga itu, Valeo Malaysia akan menjadi anak syarikat milik tidak langsung sepenuhnya NationGate.
Pengambilalihan tersebut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa dan dijangka diselesaikan menjelang 31 Disember 2025. - DagangNews.com

