johardy16/10/2026 - 18:23 Datuk Wira Mubarak Hussain bin Akhtar Husin dan Dato’ Seri Nazir Hussin bin Akhtar Hussin pada sidang akhbar baru-baru ini. Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt - Ahli perniagaan Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin bersama abangnya memohon perintah Mahkamah Tinggi bagi menghalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada mengeluarkan notis yang mewajibkan mereka mengisytiharkan aset di bawah Seksyen 36 Akta SPRM.
Nazir Hussin, 47, dan Datuk Mubarak Hussain Akhtar Husin, 50, memfailkan saman pemula melalui firma guaman Lee & Poh Partnership di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 13 Oktober dengan menamakan SPRM sebagai responden.
Kedua-dua pemohon memohon deklarasi mahkamah bahawa Seksyen 36 tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal, selain injunksi bagi menghalang SPRM atau ejennya daripada mengeluarkan atau menyerahkan sebarang notis di bawah seksyen itu kepada mereka.
Menurut laporan The Star, Nazir Hussin dalam afidavit sokongannya mendakwa SPRM menyerbu kediamannya dan kediaman abangnya di Taman Seri Gombak Heights secara serentak kira-kira pukul 6.30 pagi pada 30 September.
Beliau mendakwa SPRM memaklumkan bahawa mereka disiasat berhubung pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa berkaitan pengurusan Yayasan Bank Rakyat, yang pernah dipengerusikannya.
Menurutnya, dalam serbuan selama 12 jam itu, sebanyak 15 kenderaan bernilai RM31 juta, 12 motosikal bernilai RM5 juta, lima jam tangan, barang kemas dan sejumlah wang tunai disita.
Pertikai notis yang dijangka dikeluarkan SPRM
Nazir Hussin dan Mubarak masing-masing kemudian direman selama tujuh dan lima hari. Menurut afidavit itu, mereka tidak didakwa di mahkamah selepas tempoh reman berakhir.
Dalam afidavit sama, Nazir Hussin menyatakan beliau dimaklumkan dan percaya SPRM sedang menyediakan dokumen untuk menyerahkan notis di bawah Seksyen 36 kepadanya.
Beliau berkata, berdasarkan nasihat peguamnya, sebarang notis di bawah seksyen itu, sekiranya dikeluarkan, adalah bersifat mala fide atau berniat tidak baik.
Nazir Hussin turut mendakwa nilai aset yang disita sekitar RM36 juta jauh melebihi dana RM10 juta milik Yayasan Bank Rakyat yang dinyatakan oleh SPRM, sedangkan beliau dan abangnya belum didakwa ketika afidavit itu dibuat.
Beliau mendakwa notis tersebut, sekiranya dikeluarkan, sekadar usaha mencari-cari bukti serta melanggar hak di bawah Perlembagaan untuk tidak dipaksa memberikan keterangan yang boleh menjerat diri sendiri.
Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Kan Weng Hin pada 19 Oktober. - DagangNews.com






