Nazri Aziz, bekas duta Malaysia ke Amerika Syarikat, menempelak Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh, sebagai kebudak-budakan dan bermentaliti rendah selepas Akmal menuduhnya sebagai ‘penjilat’ berikutan sokongan terbuka kepada Anwar Ibrahim. Nazri menyifatkan reaksi Akmal tidak matang dan gagal menjawab isu dengan baik.
“Respons itu menunjukkan tahap kebudak-budakan dan mentaliti rendah. Sepatutnya, dia balas dengan hujah yang berasas, bukan dengan gelaran ‘penjilat’. Adakah ini cara Ketua Pemuda Umno berfikir?” soalnya.
Nazri juga mendakwa Akmal tidak mewakili suara Melayu atau Umno secara keseluruhan, sebaliknya hanya sebahagian kecil sahaja. Malahan, kedudukan Akmal dalam Umno hanya mewakili satu perempat daripada keseluruhan sayap parti tersebut.
“Jika benar Akmal membawa suara majoriti, kenapa Umno semakin hilang pengaruh?” katanya sambil menegaskan PAS kini lebih dominan dalam politik Melayu-Islam. Ini termasuk rekod PAS yang kini menguasai lebih banyak kerusi Parlimen berbanding Umno dan memerintah empat negeri majoriti Islam iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, dan Terengganu.
Menjawab tuduhan sebagai penjilat, Nazri berkata, jika benar beliau ‘menjilat’, Akmal dan Umno yang akan mendapat keuntungan kerana sokongannya terhadap Anwar Ibrahim adalah untuk menjamin kestabilan politik dan kemenangan pilihan raya di Melaka.
“Kalau saya ‘menjilat’, yang untung adalah Akmal sebagai exco kerajaan Melaka, bukan saya,” tegas Nazri.
Selain itu, Nazri turut menyindir cara Akmal menguruskan isu stoking kalimah Allah, di mana PAS lebih bijak menangani isu tersebut tanpa mencetuskan ketegangan kaum, berbanding dengan pendekatan Akmal yang kontroversi.
Sumber: MalaysiaKini
The post Nazri Aziz label Akmal kebudak-budakan, mentaliti rendah selepas menuduhnya ‘Penjilat’ appeared first on The Reporter.

