
Kota Kinabalu: Perdagangan kredit karbon membabitkan anggaran keluasan dua juta hektar hutan Sabah hampir menjadi kenyataan. Apabila ini berlaku, dalam masa beberapa tahun, Kerajaan Negeri Sabah dijangka dapat menuai hasil penjualan ‘gas’ bernilai berbilion ringgit ini dalam setahun.
Selain itu, inisiatif ini akan dapat membuka peluang pekerjaan sebagai renjer hutan kepada kira-kira 5,000 anak-anak negeri Sabah yang tinggal berdekatan atau hidup dalam hutan Sabah yang luas.
Pasaran ini juga boleh menyelesaikan isu berasaskan teknologi seperti loji sisa kepada tenaga atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi seperti penghutanan semula dan pengurusan hutan lestari.
Sebagai permulaan, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan memberitahu, tumpuan akan diberikan kepada kawasan yang dikira selesa oleh Kerajaan seperti hutan Trusmadi kerana ia bebas daripada pencerobohan.
