NCCIM gesa kerajaan semak semula tarikh akhir kuota pekerja asing yang tidak digunakan

5 Mar 2024 • 9:33 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menggesa kerajaan menilai semula keputusan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan selewat-lewatnya pada 31 Mac, 2024.

Presiden NCCIM Tan Sri Soh Thian Lai (gambar) berkata pihaknya bimbang dengan pekeliling baru-baru ini oleh Jabatan Imigresen, Kementerian Dalam Negeri, berhubung kemas kini peraturan mengenai pengurusan dan pengambilan pekerja asing.

Pekeliling itu menggariskan bahawa majikan yang mempunyai kuota aktif untuk pekerja asing mesti membawa pekerja ke negara ini selewat-lewatnya pada 31 Mei, 2024, berbanding daripada tarikh akhir yang sebelum ini ditetapkan pada September 2024 dan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac, 2024.

“Kesan daripada pengumuman ini berpotensi memberi impak kepada ekonomi yang lebih meluas dan keupayaan negara untuk menarik dan mengekalkan pelaburan asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

NCCIM mencadangkan agar tarikh akhir asal pada 30 Sept, 2024, dikekalkan untuk memberikan masa yang mencukupi bagi syarikat mematuhi peraturan itu.

Soh berkata pembatalan secara mendadak itu memberi risiko dan menyebabkan gangguan besar kepada perniagaan, terutamanya dalam sektor yang banyak bergantung kepada buruh asing seperti industri pembuatan, pembinaan, pertanian dan perladangan.

“Keputusan ini memberi tekanan yang besar kepada perniagaan, yang membawa kepada potensi kelewatan dan gangguan dalam projek yang sedang berjalan dan akan datang disebabkan oleh ketiadaan pekerja asing,“ katanya.​

Soh turut menekankan dilema buruh asing yang dijadualkan tiba selepas Mei 2024, yang boleh menyebabkan mereka berada dalam keadaan yang tidak menentu tanpa sebarang pekerjaan. -Bernama