
PUTRAJAYA: Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah membiayai 112 projek konservasi dengan jumlah pembiayaan lebih RM21 juta sejak ditubuhkan pada 2015 hingga November lepas.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pembiayaan itu meliputi enam kategori konservasi iaitu flora, fauna, marin dan ekosistem, ekosistem air tawar, gua dan batu kapur, serta
komuniti orang asal dan Orang Asli.
“NRES komited dalam melaksanakan pemuliharaan dan pemeliharaan sumber asli negara menerusi NCTF.
“Bagi meneruskan agenda menjamin kelestarian sumber, NCTF telah ditubuhkan pada 2015 bagi membiayai pelaksanaan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengurusan, perlindungan, kesedaran dan usaha konservasi biodiversiti,“ katanya pada Majlis Perasmian Karnival Konservasi NCTF 1.0 di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata usaha NCTF dalam memulihara dan memelihara sumber biologi negara perlu diperkukuhkan lagi dengan turut melibatkan penggemblengan tenaga daripada pelbagai sektor.
“Kita tidak ingin lagi melihat spesies asal negara mengalami akibat yang sama seperti kepupusan Badak Sumatera. Oleh itu, usaha ini perlu diteruskan oleh semua lapisan masyarakat supaya aset semula jadi negara
terpelihara dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang,“ katanya.
Mengenai program sehari Karnival Konservasi NCTF 1.0 itu, Nik Nazmi berkata ia bertujuan untuk memberi pendedahan meluas berkenaan aktiviti konservasi di bawah NCTF kepada masyarakat.
“Diharapkan melalui Karnival Konservasi NCTF 1.0 ini dapat membawa mesej kesedaran kepada masyarakat untuk memelihara dan memulihara sumber asli dan alam sekitar,“ katanya.




