NEC lancar pusat operasi pintar ICON baharu di Johor

LocalBusiness & Finance
21 Mar 2024 • 2:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

NEC lancar pusat operasi pintar ICON baharu di Johor

zulfadli

21/03/2024 - 14:46

KUALA LUMPUR 21 Mac - NEC Corporation of Malaysia, penyedia teknologi transformasi digital, melancarkan Pusat Operasi Pintar NEC (ICON) sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk mengembangkan kehadirannya di Johor.

NEC Malaysia berkata, penubuhan ICON di Sunway City Iskandar Puteri adalah usaha kerjasama antara NEC Asia Pasifik (APAC).

Katanya, peluasan ICON menandakan satu lonjakan ketara, berubah dari hab pejabat Sunway Citrine di Sunway City Iskandar Puteri kepada pusat kecemerlangan yang menyeluruh.

"Peluasan ini menekankan dedikasi ICON terhadap penciptaan pekerjaan dan berfungsi sebagai hab untuk memupuk bakat tempatan, memperkayakan standard perkhidmatan pelanggan di seluruh Asia dengan perkhidmatan pertahanan terurus dan keselamatan siber," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden NEC APAC, Koichiro Koide berkata, menerusi ICON, pihaknya menyampaikan perkhidmatan terurus dan pertahanan keselamatan siber kepada pelanggan dengan tahap kerahsiaan tertinggi.

"Kepercayaan terletak pada teras operasi kami, kerana ia dibina berdasarkan hubungan kukuh yang kami pupuk dengan pelanggan, mengambil kira penyepaduan mendalam perkhidmatan ini ke dalam infrastruktur dan operasi IT mereka.

"NEC memberi tumpuan kepada menyediakan rumusan dan membekalkan elemen asas yang penting untuk aplikasi transformatif.

"Bagi mengekalkan hubungan lancar dengan pelanggan yang dihargai, kami mewujudkan ICON sebagai asas untuk meningkatkan perkhidmatan pelanggan kami, melangkaui produk dan jualan semata-mata," katanya.

Menurut kenyataan itu, ICON menawarkan ejen pusat panggilan bertauliah yang mahir dalam mengendalikan permintaan pelanggan di peringkat pertama dan kedua.

Katanya, papan pemuka 'Managed Intelligence Edge Services (MIES)' membolehkan pelanggan memantau aduan, status dan kemajuan masa nyata.

"ICON menggunakan alat automasi berkuasa teknologi kecerdasan buatan (AI) termaju dan menyediakan sokongan dalam lapan bahasa untuk memenuhi pelbagai keperluan pelanggan Asia kami.

"Ia sebahagian daripada rangkaian Pusat Tindak Balas Lanjutan (ARC) yang semakin berkembang di rantau ini yang menyepadukan operasi meja perkhidmatan, rangkaian pusat operasi dan fungsi pusat operasi keselamatan dalam konsep 3-dalam-1," katanya. - DagangNews.com