Negara Arab kutuk pengeboman hospital, sifatkan jenayah kejam, cabul undang-undang

18 Oct 2023 • 2:42 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

MUSCAT (Oman), 18 OKT: Negara Arab mengecam tindakan Israel mengebom Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza pada Selasa.

Arab Saudi, Qatar, Oman, Mesir, Algeria, Lubnan dan Libya dalam kenyataan rasmi mengutuk serangan itu yang meragut ratusan nyawa, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Kesihatan di Gaza.

Negara berkenaan menyifatkan insiden itu sebagai jenayah kejam, serta mencabul undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

image is not available
Sekurang-kurangnya 500 orang maut dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza pada 17 Oktober 2023. Foto Reuters

Arab Saudi menyeru masyarakat antarabangsa berhenti berurusan dengan pihak yang berpendirian dwistandard.

Qatar menyifatkan pengeboman hospital itu sebagai “pembunuhan kejam beramai-ramai dan jenayah tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam yang tidak berdaya.”

Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati mengecam tindakan segelintir masyarakat antarabangsa yang dilihat “berdiam diri” dengan jenayah yang dilakukan Israel.

Pada Selasa, Kementerian Kesihatan di Gaza dilaporkan berkata sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh dalam serangan udara di hospital yang terletak di tengah Gaza itu.

image is not available
Penduduk Palestin yang cedera dibantu selepas serangan udara Israel di Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza pada 17 Oktober 2023. Foto Reuters

Selain serangan udara, Israel turut menyekat bekalan air, elektrik, makanan dan ubat-ubatan.

– BERNAMA-ANADOLU