
KUALA LUMPUR - Negara-negara Arab, khususnya Qatar dan Turkiye kini memainkan peranan penting dalam memastikan proses gencatan senjata di Gaza berterusan, sekali gus membuka ruang kepada penyelesaian politik yang lebih kekal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha diplomasi digerakkan dunia Islam ketika ini amat penting bagi menghentikan serangan dan pembantaian terhadap rakyat Palestin yang telah berlarutan sejak sekian lama.
“Negara-negara Arab, terutamanya Qatar bersama Turkiye dan dunia Islam khususnya kini menggalas peranan yang penting dalam memastikan proses gencatan senjata ini berterusan, lantas menghidupkan kembali prospek ke arah penyelesaian politik,” katanya.
Tegas beliau, Amerika Syarikat (AS) turut memikul tanggungjawab besar untuk memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan serangan dan menghormati kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.
“AS mesti memberi ruang dan peluang kepada diplomasi untuk berfungsi, agar langkah ke arah perdamaian dapat dijelmakan,” katanya.
Perdana Menteri pada masa sama menekankan, aspek kebijaksanaan dan kesabaran amat penting dalam menghadapi krisis ini, bagi memastikan serangan dihentikan segera dan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan tanpa halangan.
“Aspek dan dimensi yang terpenting saat ini adalah kebijaksanaan dan sikap kesabaran yang tinggi terutamanya untuk menghentikan serangan dalam kadar segera, menjamin tempoh bertenang dan mempercepat serta memudahkan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza,” jelasnya.
Tambahnya, keamanan yang kekal tidak akan tercapai dalam sekelip mata, sebaliknya perlu dibina dengan kesabaran dan komitmen berterusan untuk menamatkan penderitaan rakyat Gaza.
“Keamanan mesti dibina dengan kesabaran yang jitu, langkah demi langkah, dan kita tidak akan mampu menerima sebarang penangguhan dalam mengakhiri penderitaan warga Gaza.
“Tragedi sadis yang telah menghentak nurani dunia ini mesti segera dihentikan,” katanya lagi.
Mengulas respon terbaru Hamas terhadap cadangan gencatan senjata, Anwar memberitahu, ia adalah perkembangan penting ke arah menghentikan peperangan dan membuka ruang kelegaan buat warga Gaza.
Beliau juga mengambil maklum kenyataan PS, Donald J. Trump, yang menyeru Israel menghentikan serangan dan pengeboman bagi membolehkan langkah ke arah perdamaian digerakkan.
“Akhir bulan ini saya akan menyambut kedatangan Presiden Trump ke Kuala Lumpur bersempena Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang ASEAN-AS, di mana Malaysia akan mengambil peluang untuk memperkukuh perbincangan mengenai keamanan global.
“Saya menanti serta mengharapkan ruang dialog dan wacana yang segar dan terbuka tentang bagaimana Malaysia bersama rakan-rakan dapat menyumbang serta membentuk satu tatanan dunia yang adil dan damai, sekali gus menjamin hak rakyat Palestin serta sebuah negara Palestin yang berdaulat dan bermaruah,” katanya. - Getaran, 4 Oktober 2025
