Negara kecil terancam dengan realiti politik antarabangsa: Tun Dr. Mahathir

Politics
22 Oct 2024 • 2:30 PM MYT
Amir Al Fateh
Amir Al Fateh

B.SocSci (Hons) Economics. Pursuing MSc Politics & Government

image is not available
Kredit: EIR News Service

Hantaran Tun Dr. Mahathir Mohamad, di X, bertajuk “A Brave New World” dengan sarat menangkap pandangan mengenai hubungan antarabangsa, terutama dari sudut pandang negara kecil. Komentar ringkasnya, membuka perbincangan meluas mengenai kedaulatan, campur tangan, dan peranan masyarakat antarabangsa dalam pentas geopolitik yang semakin berkonflik hari ini.

Frasa “Brave New World” (mula diperkenalkan oleh Shakespeare) paling terkenal dikaitkan dengan karya distopia Aldous Huxley, yang diterbitkan pada tahun 1932. Semasa belajar sains politik di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, karya ini menjadi antara rujukan tambahan saya.

Dalam konteks Shakespeare, “brave new world” diucapkan dengan perasaan kagum terhadap dunia baharu sepertimana dilihat seseorang individu yang penuh keseronokan dengan kemajuan yang mempesonakan.

Huxley sebaliknya menggunakan frasa itu secara ironik bagi menggambarkan kemajuan dicapai itu sebenarnya telah mencipta dunia yang sangat kejam, nampak sempurna dari luar namun penuh kecacatan dan luka di dalam.

Saya percaya “Brave New World” yang dirujuk Dr. Mahathir,” menggambarkan realiti politik negara-negara kerdil dunia yang tersepit antara kemajuan, kerumitan, moraliti serta masalah tersembunyi, hingga boleh menggadaikan sesebuah kedaulatan, sama seperti visi Huxley. Malaysia tidak terkecuali dalam konteks ini.

Dalam kata lain, dunia baharu Malaysia yang ingin dilihat sebagai maju dari segi teknologi atau politik, datang dengan cabaran atau distopia tersendiri. Sekaligus melontarkan amaran dan kritikan terhadapnya.

Mitos Kesamarataan Kedaulatan

Image from: Negara kecil terancam dengan realiti politik antarabangsa: Tun Dr. Mahathir
Kredit: Xiaohui Wang

Dr. Mahathir melontarkan kebimbangan tentang realiti yang sering diabaikan dalam kalangan diplomatik: kerentanan negara-negara kecil dalam menghadapi pencerobohan. Walaupun sistem antarabangsa yang berstruktur pada kedaulatan negara menganggap semua negara adalah sama. Namun, dalam praktiknya, kesamarataan ini adalah mitos.

Negara-negara kecil, yang kekurangan kekuatan ketenteraan, akan mendapati diri mereka berada di bawah kawalan kuasa-kuasa besar. Dalam karya “Brave New World” Huxley, ada membayangkan bentuk kawalan global melalui World State terhadap negara-negara kecil yang lemah.

Huxley melihat World State ini cuba mengawal warganya melalui alat-alat politik, ekonomi, teknologi dan budaya. Keadaan yang mengikat kaki, tangan dan mulut negara-negara kecil apabila berhadapan konflik pencerobohan seperti dilihat dalam dunia hari ini.

Kemandulan Keamanan

Image from: Negara kecil terancam dengan realiti politik antarabangsa: Tun Dr. Mahathir
Kredit: UN Security Council

Maka pada titik kedua beliau mencerminkan pengabaian kuasa-kuasa besar terhadap pencerobohan dan pembunuhan beramai-ramai. Kritik beliau terarah pada struktur Majlis Keselamatan PBB yang berkisar pada kuasa-kuasa veto memperlekehkan proses demokrasi.

Sama seperti dasar World State menurut Huxley yang menggunakan kemajuan sains dan teknologi untuk mengawal masyarakat dunia. Negara-negara berkuasa besar yang menguasai bidang sama telah memanipulasi alat diplomatik seperti veto untuk mengawal dan memandulkan proses keamanan sejagat.

Sebab-sebab kemandulan ini, walau pelbagai - merentasi kepentingan geopolitik dan ekonomi, namun secara jelas ia menghantar mesej yang menakutkan: kedaulatan tidak dipelihara secara sama rata.

Kelumpuhan Majlis Keselamatan

Image from: Negara kecil terancam dengan realiti politik antarabangsa: Tun Dr. Mahathir
Kredit: IEP Global Peace Index

Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, boleh membahaskan resolusi namun tetap lumpuh akibat dari tindakan kuasa-kuasa veto ini. Huxley sendiri membayangkan “Brave New World” adalah dunia yang dipenuhi dengan ilusi di mana persetujuan itu dicapai melalui kawalan, paksaan dan penindasan kuasa-kuasa veto.

Apa yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir melalui “Brave New World” adalah satu bentuk seruan untuk kesedaran realpolitik, di mana ideal solidariti global dan hak asasi manusia sering kali tunduk kepada realiti keras politik kuasa-kuasa besar.

Harga Sebuah Dunia Baharu yang Berani

Image from: Negara kecil terancam dengan realiti politik antarabangsa: Tun Dr. Mahathir
Kredit: Muhammad Azri

Akhirnya Dr. Mahathir mengakhiri hantaran dengan frasa “Ini adalah Dunia Baru yang berani yang ratusan juta orang muda mati untuknya” boleh ditafsirkan dalam beberapa cara, terutamanya apabila mempertimbangkan konteks yang diberikan oleh Aldous Huxley dengan lebih mendalam:

Jika seseorang menggunakan frasa “Brave New World” hari ini, Tun Dr. Mahathir mungkin menggunakan ironi untuk mengkritik perkembangan atau konflik masyarakat semasa. Pengorbanan golongan muda (dalam peperangan, gerakan sosial, atau perjuangan lain) hanya untuk mempertahankan kemajuan utopia secara luaran tetapi pada dasarnya cacat atau distopia dalam nilai-nilainya.

Karya Huxley meneroka kehilangan individualiti dan kemanusiaan demi kestabilan World State. Di Gaza umpamanya, konflik yang berterusan membawa tema yang serupa di mana kos kemanusiaan, kehilangan nyawa, dilihat hanya sebagai angka atau kerugian sampingan dalam naratif geopolitik yang lebih luas. Mencerminkan elemen distopia di mana nyawa manusia dikorbankan demi ‘kestabilan masyarakat’ atau matlamat politik yang lebih besar.

Dunia yang kita warisi nanti akan dibayar dengan nyawa manusia, lantas mempersoalkan apakah harga itu berbaloi? Sudah tentu nilai-nilai kemanusiaan juga akan tergadai dalam proses tersebut.

Komentar Tun Dr. Mahathir berkenaan “Brave New World” berfungsi sebagai peringatan tentang sifat hierarki hubungan antarabangsa. Masa depan global kita, seperti yang dibayangkan oleh beliau melalui lensa “Brave New World,” disulam antara janji dan ancaman. Penting untuk kita mengemudinya dengan kesedaran terhadap ancaman yang tertanam di bawah tiang kemajuan.

Perjalanan ke hadapan ini memerlukan bukan sahaja keberanian, malah kebijaksanaan yang mendalam untuk membezakan antara cita-cita dan harga sebuah kedaulatan. Seruan ini harus disahut dengan tekad untuk melakar masa depan bumi bertuah ini tanpa perlu dibayar dengan nyawa.

Hanya dengan demikian, mungkin dapat menjauhkan diri kita dari distopia “Brave New World”, yang boleh menghancurkan jejak waris bangsa kita pada masa akan datang.


Amir Al Fateh adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.