Negara perlu teliti senario risiko ekonomi lebih mendalam - Ahli akademik

LocalBusiness & Finance
17 Apr 2026 • 8:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Negara perlu teliti senario risiko ekonomi lebih mendalam - Ahli akademik
Noor Azlan (gambar kecil) berkata, data khusus berkaitan krisis seperti prestasi import dan eksport, aktiviti pelabuhan serta bekalan baja dan input makanan perlu diperhalusi. Foto fail Bernama

SHAH ALAM – Kerajaan digesa memperincikan penelitian terhadap senario ekonomi semasa dengan memberi tumpuan kepada data berkaitan krisis susulan ketegangan geopolitik global akibat konflik berpanjangan di Asia Barat.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kajian itu tidak seharusnya bergantung kepada indikator makro secara umum, sebaliknya perlu memperhalusi data khusus berkaitan krisis seperti prestasi import dan eksport, aktiviti pelabuhan serta bekalan baja dan input makanan.

Ujar beliau, negara juga boleh mencontohi pendekatan unjuran senario ekonomi global seperti dinyatakan dalam laporan awal World Economic Outlook (WEO) Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada April tahun ini.

“Berdasarkan laporan tersebut, mereka dilihat semakin cenderung meneliti kemungkinan senario kelembapan ekonomi dunia berlaku berikutan krisis geopolitik Timur Tengah.

“Dalam konteks ini, pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah daripada tiga peratus pasti akan memberi kesan ke atas ekonomi Malaysia.

“Sebab itu, penting untuk negara mengkaji perkara itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Noor Azlan, kerajaan turut digesa mengenal pasti lebih awal kumpulan masyarakat yang rentan supaya sebarang bentuk bantuan dapat disalurkan secara lebih pantas dan bersasar.

Tambahnya, tahap libat urus dengan pemain industri juga perlu dipertingkatkan bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai keadaan sebenar di lapangan.

“Terdahulu, beberapa kerajaan negeri termasuk Selangor dan Terengganu telah mengumumkan inisiatif bantuan masing-masing.

“Justeru, kerajaan di peringkat Persekutuan juga perlu memberi gambaran lebih jelas mengenai pendekatan dan strategi negara dalam menghadapi kemungkinan krisis ekonomi berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Azlan memaklumkan sebanyak 68 peratus prestasi ekonomi negara dipengaruhi oleh permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia.

“Jadi, sekiranya ekonomi global terkesan seperti mana diunjurkan oleh IMF, apakah impaknya kepada negara kita?

“Saya ada melihat laporan mengenai pandangan beberapa penganalisis dan kerajaan yang menyatakan bahawa ekonomi negara kita mungkin kurang terjejas. Bagi saya, itu tidak cukup.

“Kita perlu mencontohi IMF, iaitu melihat kepada beberapa senario berhubung isu tersebut,” katanya.

View Original Article