Negeri anjur program asah bakat pereka muda, Siti Nurhaliza dilantik juri

20 Jun 2022 • 9:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Kerajaan Negeri buat julung kali menganjurkan Selangor Fashion Accelerator mulai 1 Ogos hingga 23 September ini bagi mengembangkan industri fesyen negara.

Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata penganjuran program berkonsepkan pakaian sopan itu turut bertujuan mengasah bakat pereka muda.

“Program ini melibatkan sesi latihan dan bimbingan daripada pemain industri serta profesional terkenal. Permohonan dibuka mulai 15 Jun dan setakat ini 50 individu sudah memohon. .

“Program secara hibrid merangkumi kemahiran asas, kesesuaian pasaran produk, pengurusan jenama, pasaran digital serta cara mencari pembekal atau pengilang,” kata Yong Kai Ping pada sidang media pengumuman program berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil sebagai juri bersama enam individu lain antaranya pereka fesyen terkenal Melinda Looi dan Bon Zainal Harun.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dan Pengarah Urusan The Hive Southeast Asia Dato’ Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail pula bertindak sebagai penilai.

“Enam peserta terbaik akan membentang idea mereka kepada pelabur dan rakan kongsi pada Hari Demo, 8 Oktober sempena penganjuran Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.

“Individu yang menang akan terima pelaburan dari The Hive dan PNSB. Maklumat lanjut program boleh didapati di www.sidec.com.my,” katanya.