SHAH ALAM, 3 NOV: Semua 373 kampung tradisi di negeri ini akan dibangunkan dengan lebih pesat namun masih mengekalkan identiti dan budaya setiap kawasan.
EXCO Pembangunan Desa Dato’ Rizam Ismail berkata langkah itu akan memberi nilai tambah terutama aspek keselesaan dan kesejahteraan hidup selain meningkatkan pendapatan ekonomi setempat.
Berikutan itu, beliau berharap menerima peruntukan tinggi menerusi Belanjawan Selangor 2025 yang akan diumumkan pada 15 November ini supaya rancangan berkenan dapat dijayakan.

“Kita memang harapkan dana lebih disalurkan sebab banyak urusan melibatkan masyarakat. Selain rancangan menyusun semua kampung tradisi serta tambah kemajuan, kita turut berurusan dengan ramai pihak antaranya ketua kampung, penghulu mukim.
“Kita mahu adakan macam-macam program namun akan pastikan tradisi kampung tak terhakis malah akan mempromosikannya. Secara tak langsung, usaha ini juga akan mempromosi Selangor dan mampu meningkatkan sektor pelancongan,” katanya kepada SelangorKini.
Dalam masa sama Rizam berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam menjayakan program Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang dilihat mampu membantu ekonomi penduduk desa,
“RM600 juta daripada keseluruhan peruntukan RM1 bilion untuk merancakkan ekonomi pedesaan. Ini sedikit sebanyak bantu penduduk desa terutama dalam industri kecil sederhana dan kita sedia bekerjasama,” katanya.
Ketika membentang intipati belanjawan 2025 pada 18 Oktober, perdana menteri memaklumkan peruntukan RM600 juta bagi merancakkan ekonomi pedesaan di kampung, bandar pedalaman serta perkampungan Orang Asli.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu sebahagian daripada RM1 bilion yang diperuntukkan selain RM200 juta bagi memperluas program Kampung Angkat MADANI serta RM100 juta kepada universiti awam untuk melaksanakan program berkenaan.
The post Negeri cadang majukan 373 kampung tradisi, kekal identiti, nilai budaya appeared first on Selangorkini.

