KOTA BHARU - "Negeri dan Persekutuan harus bergerak seiring, bukan untuk siapa yang lebih menonjol, tetapi untuk siapa yang lebih terbela," demikian kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Menurut beliau, kerajaan yang matang bukan sekadar berbeza pandangan, tetapi tahu mencari titik persamaan demi maslahat bersama.
“Usai Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara semalam (Khamis), saya bersama Pegawai Kewangan Negeri dan Bendahari Negeri meneruskan langkah ke Putrajaya bagi mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pertemuan ini bukan sekadar kunjungan hormat, tetapi medan memperkukuh hubungan kerja antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan atas asas pentadbiran yang matang, berhemah dan berorientasikan solusi,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Jumaat.
Mohd Nassuruddin berkata, fokus mereka jelas dalam semangat federalisme yang sihat dan kerjasama itu dizahirkan melalui pendekatan profesional, saling menghormati bidang kuasa serta berkongsi tanggungjawab demi memastikan setiap inisiatif benar-benar sampai kepada rakyat.
Ujarnya, segala perbincangan tersebut bermuara kepada satu tekad, iaitu memastikan manfaatnya dirasai sepenuhnya oleh rakyat kerana kesejahteraan mereka ialah ukuran sebenar kejayaan pentadbiran.
