
SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) giat melaksanakan pemantauan sungai termasuk Sungai Telok Gong, sejak April 2023.
EXCO Alam Sekitar berkata LUAS memulakan inisiatif Pemuliharaan Kualiti Air di Telok Gong bermula pada Disember tahun lalu hasil inisiatif menerusi River Monitoring Program (RMP).
Menurut Jamaliah Jamaluddin, usaha tersebut membuahkan hasil apabila kualiti air di kawasan terlibat menunjukkan peningkatan lebih baik berbanding sebelum ini.
“Kawasan itu merangkumi Jalan Ikan Tampang (aliran ke Sungai Langat), Jalan Udang Galah (aliran ke Sungai Langat) dan Pos PGA Jeti Perajurit (aliran ke Selat Lumut).
“Indeks Kualiti Air (IKA) setakat Mac lalu menunjukkan Kelas Ketiga iaitu Sederhana Tercemar dan masih boleh digunakan bagi tujuan pembekalan air mentah dengan adanya rawatan intensif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Jamaliah berkata Kerajaan Negeri kini menguatkuasa Zero Discharge Policy (ZDP) dengan Taman Perindustrian Telok Gong menjadi kawasan perindustrian pertama terlibat dalam pelaksanaan polisi berkenaan.
Menurutnya, 92 lesen ZDP telah dikeluarkan kepada premis industri di kawasan Telok Gong selain berharap kualiti sumber air di kawasan itu dapat ditingkatkan ke tahap lebih baik pada masa akan datang.
“Kerajaan Negeri tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti yang mencemarkan sumber air selaras dengan Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999,” katanya.
Terdahulu, sebuah akhbar tempatan mendakwa Sungai Teluk Gong kini diibarat seperti sudah mati berikutan pencemaran serius hingga kualiti airnya tidak sesuai untuk sebarang kehidupan.
Keadaan itu secara tidak langsung mengancam kesihatan lebih 40,000 penduduk sekitarnya, selain memudaratkan ekosistem dan alam sekitar di kawasan berkenaan.

The post Negeri pantau sungai sejak 2023, boleh digunakan untuk bekalan air mentah appeared first on Selangorkini.

