Negeri Sembilan tewaskan Kedah di Paroi

Football
9 Oct 2022 • 12:36 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara aksi Negeri Sembilan menentang KDA dalam perlawanan Liga Super di Paroi. - Foto Kedah Darul Aman FC

NEGERI Sembilan FC meneruskan misi memburu tiga tempat teratas saingan Liga Super selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC, 4-3 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Kemenangan ke-11 liga skuad Hobin Jang Hobin itu merapatkan jurang dengan ketinggalan satu mata di belakang Sabah di tangga kedua dan sama mata dengan Terengganu FC (TFC) di tempat ketiga dengan perbezaan jaringan.

Babak pertama, Negeri Sembilan bermula garang apabila melakukan beberapa aksi serangan balas seawal minit pembukaan sehingga menguji ketangkasan pertahanan KDA.

Skuad Rusa kendalian K Devan kemudian berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi penyerang import Alves Leandro Matheus selepas menyudahkan hantaran Yashir Pinto.

Bagaimanapun jaringan itu tidak mematahkan semangat skuad Kenari yang menyamakan kedudukan pada minit ke-45 menerusi Mamoud Al Mardi, yang melakukan rembatan dari luar kotak penalti, sekali gus menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Pada babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mencetak gol selepas pemain import Gustavo menyumbat dua gol pasukan pada minit ke-58 dan ke-70 yang diselang gol Sean Selvaraj pada minit ke-66.

KDA yang tidak mengalah berjaya merapatkan jurang selepas Sanrawat Dechmitr dan Marc Vales mencetak gol kedua dan ketiga pada minit ke-83 dan 90.

Kemenangan di laman sendiri itu menyaksikan Negeri Sembilan kekal di tangga keempat liga.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved